Pihak Berkuasa Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA), dengan kerjasama JobCentre Brunei (JCB) di bawah Majlis Perancangan dan Pekerjaan Tenaga Manusia (MPEC), mengadakan Majlis Menandatangani Perjanjian Kontrak bagi Skim Perantisan SHENA di Dewan Bankuet, Pejabat Perdana Menteri.
Hadir selaku Tetamu Kehormat bagi menyaksikan majlis penandatanganan tersebut ialah Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Matsatejo bin Sokiaw, Timbalan Menteri (Tenaga) di Pejabat Perdana Menteri selaku wakil peribadi kepada Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (R) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi Bin Haji Mohd Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri selaku Menteri Bertanggungjawab bagi SHENA. Turut hadir ialah Yang Mulia Dr. Hajah Siti Haziah Binti Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Ketua Sekretariat MPEC.
Majlis dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Yang Mulia Haji Azhar bin Haji Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif Interim SHENA, di mana beliau menekankan bahawa acara tersebut merupakan satu pencapaian penting dalam membangunkan impak positif untuk terus membina dan meningkatkan budaya keselamatan dan kesihatan di Negara Brunei Darussalam serta meningkatkan prestasi keselamatan dan kesihatan secara keseluruhan di peringkat nasional.
Sepuluh perantis yang berjaya bagi kohort pertama Skim Perantisan SHENA menandatangani Perjanjian Kontrak dan menandatangani bagi pihak SHENA ialah Yang Mulia Haji Azhar bin Haji Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif Interim SHENA. Majlis diakhiri dengan sesi bergambar berkumpulan.
Dengan matlamat untuk melahirkan Pegawai Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja (WSH) yang berkemahiran tinggi, Skim Perantisan SHENA adalah program pembangunan berstruktur, di mana perantis akan meneruskan tugasan mereka selama enam bulan tambahan dengan SHENA setelah selesai Program i-Ready 18 bulan mereka. SHENA akan melengkapkan perantis dengan pengalaman pembelajaran yang diperkaya melalui kemahiran praktikal dan mendapatkan pensijilan yang relevan untuk memastikan bahawa mereka bersedia industri dan boleh dipasarkan dalam industri.