Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (R) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam, telah menghadiri Mesyuarat Antara Muka Menteri mengenai Agenda Pembangunan Mampan di bawah Komuniti Ekonomi ASEAN secara maya pada 9 November 2022. Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri diiringi oleh Yang Mulia Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra, Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga) di Pejabat Perdana Menteri, selaku Pegawai Kanan bagi Pemimpin Tenaga Negara Brunei Darussalam, serta pegawai-pegawai dari Jabatan Tenaga di Pejabat Perdana Menteri.
Diadakan di luar Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEANke-21 di Phnom Penh, Kemboja, objektif utama Mesyuarat adalah untuk meningkatkan usaha serantau dalam mewujudkan sinergi yang lebih besar merentasi Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), terutamanya antara sektor ekonomi, tenaga, pengangkutan, pertanian dan perhutanan untuk memajukan agenda rantau ini mengenai pembangunan ekonomi mampan.
Mesyuarat dipengerusikan oleh Tuan Yang Terutama Pan Sorasak, Menteri Perdagangan, Kerajaan Kemboja, selaku Pengerusi Menteri-Menteri Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN sekarang, dan dihadiri oleh Menteri-menteri dan wakil-wakil Negara Anggota ASEAN daripada empat (4) badan menteri sektoral, iaitu Menteri-Menteri Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN; Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM); Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN (ATM); dan Menteri-Menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN (AMAF).
Semasa Mesyuarat itu, para menteri mengakui keperluan untuk terus membincangkan isu-isu baru muncul yang mempunyai implikasi besar kepada agenda pembinaan komuniti ekonomi di rantau ini, terutamanya dalam mempromosikan dan menyokong inisiatif ASEAN ke arah mencapai neutral karbon. Badan-badan menteri sektoral juga telah bersetuju untuk meningkatkan penyelarasan dan kerjasama rentas sektor yang lebih sistematik, integratif dan koheren untuk memajukan kerja-kerja neutral karbon melalui promosi strategi dan pendekatan pertumbuhan hijau.