Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam, dengan kerjasama ASEAN Centre for Energy (ACE) dan Economic Research Institute for ASEAN and East Asia (ERIA) sedang menganjurkan Seminar Tenaga selama dua hari bermula 10-11 Julai 2023 yang bertujuan bagi menggalakkan perkongsian ilmu pengetahuan diperingkat serantau dan meningkatkan kefahaman mengenai dengan proses mempercepatkan peralihan tenaga yang saksama. Bertemakan “A Just Energy Transition Towards Green and Sustainable Development in Southeast Asia", seminar ini menghimpunkan pakar-pakar serantau dan tempatan, pihak-pihak berkepentingan dalam industri tenaga, ahli -ahli akademik, penyelidik-penyelidik, pegawai-pegawai kerajaan, institusi-institusi kewangan dan belia untuk sama-sama mengambil bahagian dalam perbincangan dan penyampaian bagi seminar tersebut. Seminar ini diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC) sebagai sebahagian daripada siri seminar yang dianjurkan bersempena dengan Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei 2023 (Brunei MYCE 2023). Hadir selaku Tetamu Kehormat semasa majlis pembukaan ialah Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II.
Turut hadir ialah Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Matsatejo bin Sokiaw, Timbalan Menteri (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu, Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang), Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos, Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Jabatan Perdana Menteri, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Duta-Duta Besar dan Pesuruhjaya- Pesuruhjaya Tinggi, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan, Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah-Pengarah Urusan bagi Badan-Badan Berkanun dan Syarikat-Syarikat.
Tema Seminar bagi tahun ini menekankan seruan serantau bagi tindakan bersepadu untuk mempercepatkan peralihan tenaga serantau, disamping memastikan kesaksamaan dan keterangkuman kepada ekonomi, masyarakat dan komuniti. Ianya memerlukan komitmen bersepadu bagi menyediakan bekalan tenaga elektrik mampu milik dan boleh dipercayai ke rantau ini, disamping mengekalkan jaminan tenaga dan komitmen kepada perubahan iklim. Melalui dialog, seminar ini bertujuan bagi mengukuhkan kerjasama dan mengesahkan komitmen untuk mencapai ekonomi yang rendah karbon diperingkat nasional dan serantau. Ianya juga bertujuan bagi meneroka pendekatan inovatif, strategik, dasar, modaliti pembiayaan, peluang perniagaan dan pembangunan amalan baharu yang diamalkan oleh pihak-pihak berkepentingan dalam mencari pendekatan peralihan yang saksama dan inklusif dari segi sosial di sektor tenaga.
Strategi Peralihan Tenaga Negara Brunei Darussalam adalah selaras dengan objektif seminar ini dan komitmen negara kearah ekonomi rendah karbon bagi memastikan kesinambungan tenaga dan alam sekitar negara. Dasar Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam (BNCCP) menggariskan beberapa strategi bagi mengurangkan pelepasan karbon yang mensasarkan kepada transformasi sektor tenaga negara yang lebih hijau dan masa depan tenaga yang lebih mampan melalui peningkatan bahagian teknologi tenaga boleh diperbaharui. Strategi ini mensasarkan kepada peningkatan kapasiti penjanaan sebanyak 200 MW kuasa solar menjelang tahun 2025 dan dan sekurang-kurangnya 30 peratus didalam campuran tenaga dijana oleh kuasa solar menjelang tahun 2035.
Semasa seminar tersebut, topik-topik yang diketengahkan bertujuan untuk membentuk konsep sinergi dan asas dalam menyumbang kepada strategi peralihan tenaga selaras dengan negara-negara Asia Tenggara yang lain, dan berfungsi sebagai platform untuk berkomunikasi dengan pihak-pihak berkepentingan serantau. Panel pakar berkongsi pengetahuan dan berbincang mengenai pelbagai aspek seperti aspek teknikal, pengawalseliaan, kaedah pembiayaan dan pembangunan kapasiti berkaitan dengan peralihan tenaga. Sesi-sesi sepanjang seminar berkenaan ialah 1) Clean Energy Deployment for a Just Energy Transition, 2) Emerging Technologies for Clean Energy Future, 3) Energy Interconnection in Securing Energy Transition, dan 4) Exploring Financing Mechanisms for Energy Transition.
Panel berkaitan dengan Mekanisme Pembiayaan bagi Peralihan Tenaga menyatukan pelbagai perspektif, terutamanya bagi negara-negara yang bergantung kepada bahan api fosil. Sesi tersebut juga mengkaji mekanisme pembiayaan yang inovatif dan langkah kewangan untuk mempercepatkan peralihan tenaga.
Seramai 370 peserta menyertai seminar tersebut dan berpeluang menjalinkan hubungan rangkaian dan bertukar-tukar idea bersama ahli profesional, pakar-pakar dan pemimpin pelbagai bidang. Seminar Tenaga tersebut juga mengalu-alukan penyertaan pakar dan penceramah secara maya melalui siaran langsung.
Sebagai aktiviti tambahan disamping seminar berkenaan, peserta-peserta dari luar negara juga akan berpeluang membuat lawatan ke tempat-tempat tumpuan seperti Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Hab Tenaga Brunei.
Acara Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei 2023 (Brunei MYCE 2023) adalah dianjurkan oleh Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan, badan-badan berkanun, institusi-institusi pendidikan tinggi, pihak berkepentingan. Brunei MYCE 2023 juga disokong penuh oleh beberapa rakan media rasmi iaitu Radio Televisyen Brunei (RTB), Jabatan Penerangan (Pelita Brunei) dan Brunei Press Sdn Bhd.