Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menerima mengadap Tuan Yang Terutama Haitham Al-Ghais, Setiausaha Agung, Organization of the Petroleum Exporting Countries (OPEC), yang mengadakan lawatan kerja selama empat (4) hari ke Negara Brunei Darussalam.
Semasa Majlis Mengadap tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Tuan Yang Terutama telah berbincang mengenai peluang-peluang untuk meningkatkan kerjasama di antara Negara Brunei Darussalam dan OPEC di dalam bidang Minyak dan Gas. Perbincangan juga tertumpu kepada isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama bagi kedua-dua pihak.
Menyertai bersama Tuan Yang Terutama di Majlis Mengadap tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II dan Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Matsatejo bin Sokiaw, Timbalan Menteri (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri.
Majlis Mengadap tersebut berlangsung di Istana Nurul Iman.