Mesyuarat yang diadakan pada 30 November lalu itu telah dipengerusikan oleh His Royal Highness Prince Abdulaziz bin Salman Al-Saud, Menteri Tenaga Kerajaan Arab Saudi, dan dipengerusikan bersama oleh Tuan Yang Terutama Alexander Valentinovich Novak, Timbalan Perdana Menteri Persekutuan Rusia, dengan dihadiri oleh Tuan Yang Terutama Antonio Oburu Ondo, Menteri Perlombongan dan Hidrokarbon Republik Guinea Khatulistiwa, selaku Presiden Persidangan OPEC 2023.
Pada mesyuarat itu, negara-negara peserta OPEC dan bukan OPEC dalam pengisytiharan kerjasama (DoC) telah menyokong cadangan yang dikemukakan pada mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Bersama Menteri (JMMC) ke-51, yang diadakan sebelum ONOMM ke-36.
DoC antara negara-negara pengeluar minyak OPEC dan bukan OPEC telah bermula pada 10 Disember 2016, mengiktiraf keperluan kerjasama bersama negara pengeksport minyak untuk mencapai kestabilan yang berkekalan dalam pasaran minyak demi kepentingan pengeluar dan pengguna minyak.
Seperti lazimnya, mesyuarat menteri-menteri itu akan diadakan setiap enam bulan, dan mesyuarat seterusnya (ONOMM ke-37) dijangka akan berlangsung pada 1 Jun 2024 di Vienna, Austria.
Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Yang Mulia Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah, Timbalan Menteri (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri; Yang Mulia Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib, Setiausaha Tetap (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri, dan Yang Mulia Awang Haji Asrul Adrain bin Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr Haji Ahmad, Pemangku Setiausaha Tetap (Fiskal I) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

