Mesyuarat Pegawai Kanan Khas ASEAN bagi Tenaga 2024 (ASEAN Special SOME 2024) dan Mesyuarat Bersekutunya telah diadakan pada 30 Januari hingga 1 Februari 2024 di Pullman Hotel and Resort, Luang Prabang, Lao PDR. Mewakili Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Yang Mulia Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib, Setiausaha Tetap (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri Pegawai Kanan Peneraju Tenaga bagi Negara Brunei Darussalam.
Special SOME tahun ini dihoskan oleh Lao PDR sebagai Pengerusi SOME dan Pengerusi ASEAN. Mesyuarat itu merupakan susulan daripada Mesyuarat ASEAN yang berkaitan dan Mesyuarat Menteri Tenaga ASEAN ke-41 (AMEM-41) dan membincangkan antaralainnya status pencapaian dan pelan kerja di bawah Pelan Tindakan ASEAN untuk Kerjasama Tenaga (APAEC) Fasa II : 2021-2025.
Mesyuarat Special SOME pada tahun ini menerima pakai Lao PDR's Chairmanship Energy Priority Deliverables bagi tahun 2024, termasuk persetujuan bagi draf substantif Perjanjian Grid Elektrik ASEAN (APG), Memorandum Persefahaman Trans ASEAN Gas Pipeline (TAGP), dan lanjutan Perjanjian Keselamatan Petroleum ASEAN. Selain itu, kemajuan bagi Tinjauan Tenaga ASEAN ke-8 (AEO8) dilaporkan yang bertujuan untuk diterima pakai oleh AMEM ke-42 di Vientiane, Laos PDR pada September 2024.
Selain itu, mesyuarat tersebut juga memulakan pembangunan APAEC Pasca-2025, melalui pengendalian Mesyuarat Jawatankuasa Penggubalan APAEC Pertama, yang bertujuan untuk pengesahan oleh AMEM ke-43 di Malaysia. Selain itu, Mesyuarat itu juga memberikan komitmen terhadap pelaksanaan berterusan APAEC Fasa II: 2021-2025 yang menekankan pengukuhan penglibatan dan perkongsian dengan Rakan Dialog (DP) dan Organisasi Antarabangsa (IO).