12 Rabiulawal merupakan tarikh kelahiran Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam dan menjadi kelazimannya masjid-masjid, balai-balai ibadat dan surau-surau seluruh negara diimarahkan dengan selawat dan dikir sepanjang 12 malam berturut-turut bermula dari 01hb Rabiulawal. Sempena memperingati Hari Keputeraan Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam pada tanggal 12 Rabiulawal tahun ini, Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan-Jabatan dibawahnya mengadakan Majlis Pembukaan Dikir berlangsung di Jame 'Asr Hassanil Bolkiah. Hadir selaku Tetamu Kehormat Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II.
Majlis Pembukaan Dikir Maulud dimulakan dengan sembahyang Fardhu Maghrib berjemaah, diikuti dengan bacaan wirid serta doa, Surah Al-Fatihah dan seterusnya bacaan Dikir Assalamualaika dan Dikir Syarafil Anam. Majlis kemudian diteruskan dengan Sembahyang Fardhu Isyak berjemaah, diikuti dengan Dikir Marhaban dan bacaan memohon perlindungan daripada Allah Subhanahu Wata'ala serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam. Majlis diakhiri dengan penyerahan sumbangan wakaf oleh Tetamu Kehormat Majlis kepada wakil Jame 'Asr Hassanil Bolkiah. Majlis tersebut dihadiri oleh kira-kira seramai 250 orang yang terdiri daripada Ketua Hakim Syarie, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu, TimbalanMenteri Sekuriti dan Undang- Undang, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos, Timbalan Menteri Urustadbir Perkhidmatan Awam dan Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah, Timbalan Menteri Tenaga, Ketua Pendaftar Mahkamah Besar, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Ketua-Ketua Jabatan dan Bahagian, pegawai dan kakitangan Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan-Jabatan Di Bawahnya bagi sama-sama memeriahkan Majlis Pembukaan Dikir Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam.
Turut diadakan serentak ialah Majlis Pembukaan Sambutan Dikir Maulud di Masjid Ash-Shaliheen. Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra, Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri. Turut hadir ialah Ketua-Ketua Jabatan, Pegawai-Pegawai Kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan-Jabatan dibawahnya.

