Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Jabatan-Jabatan di bawahnya hari ini meneruskan lagi Majlis Dikir Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam di Masjid Hassanal Bolkiah, Daerah Tutong. Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos, Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri.
Turut hadir ialah Yang Mulia Pengiran Haji Raffizanna bin Pengiran Haji Razali, Pemangku Setiausaha Tetap (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri, Pegawai-Pegawai Kanan, Pegawai-Pegawai dan Kakitangan JPM dan Jabatan-Jabatan dibawahnya.
Majlis didahului dengan sembahyang fardhu Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Yang Mulia Sahibol Omar bin Haji Yusof, Imam Masjid Hassanal Bolkiah, Daerah Tutong. Majlis seterusnya diikuti dengan bacaan wirid dan doa, bacaan Surah Al-Fatihah dan diserikan dengan bacaan Dikir Assalamualaika serta Dikir Syarafil Anam daripada kumpulan dikir daripada Jabatan Perkhidmatan Elektrik.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan sembahyang fardhu isyak berjemaah, diikuti dengan persembahan Dikir Marhaban, bacaan doa memohon kepada Allah Subhanahu Wata'ala agar negara akan terselamat daripada bala bencana dan segala jenis penyakit serta bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.Majlis diakhiri dengan penyerahan sumbangan wakaf oleh Tetamu Kehormat Majlis kepada wakil Masjid Hassanal Bolkiah.
Majlis dikir yang dikendalikan bersama oleh Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Penyelidikan Brunei dan Jabatan Perkhidmatan Elektrik dianjurkan bagi mengenang jasa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam memperjuangkan syiar Islam sekali gus menyuntik rasa kecintaan kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dalam kalangan warga Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan-Jabatan dibawahnya.
