Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Jabatan-Jabatan dibawahnya hari ini meneruskan lagi Majlis Dikir Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam di Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait. Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah, Timbalan Menteri (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri, disertai oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri, Pegawai-Pegawai Kanan, Pegawai-Pegawai dan kakitangan JPM dan Jabatan-Jabatan di bawahnya.
Majlis didahului dengan Sembahyang Fardhu Maghrib berjemaah yang diketuai oleh Imam Masjid Mohammad Jamalul Alam, Daerah Belait. Majlis diteruskan dengan bacaan wirid dan doa, bacaan Surah Al-Fatihah dan persembahan Dikir Assalamualaika serta Dikir Syarafil Anam daripada kumpulan dikir Pasukan Polis Diraja Brunei.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan Sembahyang Fardu Isyak berjemaah, diikuti dengan persembahan Dikir Marhaban, bacaan doa memohon kepada Allah Subhanahu Wata'ala agar negara akan terselamat daripada bala bencana dan segala jenis penyakit serta bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam. Majlis diakhiri dengan penyerahan sumbangan wakaf oleh Tetamu Kehormat Majlis kepada wakil Masjid Mohammad Jamalul Alam.