Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pagi ini berkenan mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Brunei LNG Sendirian Berhad (BLNG) Ke-223 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah Brunei Gas Carriers Sendirian Berhad (BGC) Ke-109 bagi Suku Ketiga tahun 2024. Mesyuarat tersebut berlangsung di bangunan Jabatan Perdana Menteri.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, dan Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah, Timbalan Menteri (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri selaku ahli-ahli Lembaga Pengarah BLNG dan BGC.
Pada Mesyuarat tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan titah. Baginda menekankan prinsip zero tolerance terhadap penyalahgunaan kuasa dan rasuah, serta pentingnya menegakkan integriti perniagaan dalam perlaksanaan sebarang aktiviti perniagaan, dengan tumpuan ke arah pengoptimuman kos dan pada masa yang sama memacu prestasi syarikat. Seterusnya, Baginda bertitah menyeru para pemegang saham untuk terus meneroka peluang pelaburan baharu dan mengenal pasti teknologi terkini untuk kekal berdaya saing.
Mesyuarat tersebut dimulakan dengan bacaan Doa oleh Awang Haji Mohammad Izzat Izzuddin bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran, Pegawai Hal Ehwal Masjid. Mesyuarat juga dihadiri oleh pihak-pihak berkepentingan termasuk Shareholder Directors yang mewakili Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Shell plc dan Mitsubishi Corporation serta ahli-ahli kepimpinan daripada BLNG dan BGC. Mesyuarat telah membincangkan bidang-bidang penting seperti prestasi operasi, keselamatan, kewangan dan pembangunan tenaga manusia, serta menetapkan hala tuju strategik untuk tahun-tahun akan datang bagi BLNG dan BGC.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya akan mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah-Pengarah Brunei Shell Petroleum Sendirian Berhad (BSP) Ke-412 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah-Pengarah Brunei Shell Marketing Sendirian Berhad (BSM) Ke-190 bagi Suku Ketiga tahun 2024 pada hari esok.

