Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pagi ini berkenan mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Shell Petroleum Sendirian Berhad (BSP) Ke-412 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah Brunei Shell Marketing Sendirian Berhad (BSM) Ke-190 bagi Suku Ketiga tahun 2024. Mesyuarat tersebut berlangsung di bangunan Jabatan Perdana Menteri.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, dan Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah, Timbalan Menteri (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri selaku ahli-ahli Lembaga Pengarah BSP dan BSM.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan titah pada Mesyuarat tersebut. Baginda menekankan kepentingan syarikat Usahasama Brunei Shell (BSJV) dan BGC untuk bekerjasama merancang bagi meningkatkan pulangan dan menyokong pertumbuhan perniagaan untuk kekal berdaya saing pada masa hadapan, dimana pengurusan kos adalah pemacu nilai utama bagi kemampanan jangka panjang syarikat-syarikat BSJV dan BGC. Mengambilkira aktiviti-aktiviti syarikat-syarikat BSJV dan BGC yang meluas di Negara Brunei Darussalam dengan para vendor dan kontraktor, Baginda menekankan perlunya kerjasama dengan agensi-agensi yang berkaitan untuk menegakkan integriti yang tinggi dalam kesemua aktiviti.
Mesyuarat tersebut dimulakan dengan bacaan Doa oleh Awang Haji Mohammad Izzat Izzuddin bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran, Pegawai Hal Ehwal Masjid. Mesyuarat juga dihadiri oleh pihak-pihak berkepentingan termasuk Shareholder Directors yang mewakili Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Shell plc dan Mitsubishi Corporation serta ahli-ahli kepimpinan daripada BSP dan BSM.
Mesyuarat tersebut membincangkan perkembangan terkini dalam bidang-bidang penting seperti operasi, keselamatan, kewangan dan pembangunan tenaga manusia, serta strategi jangka panjang BSP dan BSM bagi tahun-tahun akan datang dan seterusnya. Mesyuarat menandakan berakhirnya sesi Mesyuarat Lembaga Pengarah Suku Ketiga 2024 untuk tahun ini.

.jpeg)