Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Jabatan-Jabatan di bawahnya hari ini meneruskan lagi Majlis Dikir Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Daerah Temburong. Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Pengiran Haji Raffizanna bin Pengiran Haji Razali, Pemangku Setiausaha Tetap (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri.
Majlis didahului dengan sembahyang fardhu Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Yang Mulia Awang Norezam bin Haji Zaini, Imam Masjid Utama Mohammad Salleh, Daerah Temburong. Majlis diikuti dengan bacaan wirid dan doa dan bacaan Surah Al Fatihah dan diserikan dengan bacaan Dikir Assalamualaika serta Dikir Syarafil Anam daripada kumpulan dikir Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Majlis kemudiannya diteruskan dengan sembahyang fardhu Isyak berjemaah yang diimamkan oleh Yang Mulia Muhammad Syahmi bin Haji Zaini, Imam Masjid Utama Mohammad Salleh yang kemudiannya diikuti dengan persembahan Dikir Marhaban, bacaan doa memohon kepada Allah Subhanahu Wata'ala agar negara akan terselamat daripada bala bencana dan segala jenis penyakit serta bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Majlis diakhiri dengan penyerahan sumbangan wakaf oleh Tetamu Kehormat majlis kepada wakil Masjid Utama Mohammad Salleh. Majlis yang dikendalikan bersama oleh Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Penyelidikan Brunei dan Jabatan Perkhidmatan Elektrik dianjurkan bagi mengenang jasa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam memperjuangkan syiar Islam sekali gus menyuntik rasa kecintaan kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu AlaihiWasallam dalam kalangan warga Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan-Jabatan di bawahnya. Majlis turut dihadiri oleh Pegawai-Pegawai Kanan, Pegawai-Pegawai dan Kakitangan Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan-Jabatan di bawahnya.

