Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Jabatan-Jabatan di bawahnya mengadakan Majlis Penutup Dikir Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bertempat di Masjid Ash-Shaliheen. Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II.
Turut hadir pada Majlis tersebut ialah Timbalan-timbalan Menteri, Setiausaha[1]setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, para Jemputan Khas, Ketua-ketua Jabatan serta pegawai dan kakitangan JPM dan Jabatan-Jabatan di bawahnya.
Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Mohammad Izzat Izzuddin bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran, Ketua Imam Masjid Ash-Shaliheen. Majlis kemudiannya diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan bacaan Dikir Assalamualaika serta Dikir Syarafil Anam daripada Kumpulan Dikir Radio Televisyen Brunei (RTB).
Majlis diteruskan lagi dengan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah, diikuti dengan persembahan Dikir Marhaban, bacaan Doa memohon kepada Allah Subhanahu Wata'ala agar negara terselamat daripada bala bencana dan segala jenis penyakit serta bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Majlis disudahi dengan penyerahan sumbangan Wakaf oleh Tetamu Khas Majlis kepada wakil Masjid Ash-Shaliheen. Majlis dikendalikan bersama oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan Jabatan Penyelidikan Brunei dengan kerjasama Radio Televisyen Brunei.