Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Jabatan-Jabatan dibawahnya petang tadi mengadakan Ceramah Khas sempena Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Allaihi Wassallam yang bertempat di Dewan Bankuet, Bangunan Jabatan Perdana Menteri. Hadir selaku Tetamu Khas di Majlis tersebut ialah Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu, Pemangku Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Pemangku Setiausaha Tetap, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap, para Jemputan Khas, Ketua-Ketua Jabatan dan Bahagian, pegawai-pegawai dan kakitangan JPM serta Jabatan-Jabatan di bawahnya.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dikepalai oleh Yang Mulia Awang Haji Mohammed Izzat Izzuddin bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Ash-Shaliheen, manakala bacaan ayat-ayat suci Al-Quran diketuai oleh Yang Mulia Awang Zainal Mustapa bin Jaluddin, Siswa Diploma Tertinggi 'Aliyah Qiraat Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Majlis diteruskan lagi dengan Ceramah Khas bertajuk “Memelihara Akal Berpandukan Sunnah Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassallam" yang disampaikan oleh penceramah undangan Yang Mulia Awang Muhammad Syahirul Syafiq bin Rashid, Penolong Pegawai Ugama dari Pusat Da'wah Islamiah. Intipati ceramah tersebut antaralainnya menekankan kepentingan maqasid Syariah yang mana memelihara akal berpandukan Sunnah Rasulullah Sallallahu “Alaihi Wassallam merupakan anugerah yang sangat berharga daripada Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan oleh itu, adalah sangat berharga dan wajib dipelihara dengan menerapkan nilai-nilai murni dan ilmu pengetahuan sepertimana yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Majlis turut diserikan dengan persembahan Dikir Syarafil Anam yang dibawakan oleh Pasukan Dikir Lelaki Polis Diraja Brunei.
Majlis yang dikendalikan bersama oleh Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Jabatan Penyelidikan Brunei merupakan salah satu aktiviti tahunan JPM dan Jabatan-Jabatan di bawahnya bagi sama-sama menyemarakkan dan memeriahkan lagi sambutan hari kebesaran Islam di samping meraih syafaat daripada Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wassallam.