Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri and Menteri Pertahanan II, kini berada di Vientiane, Republik Demokratik Rakyat Lao bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) kali ke-42 dan Mesyuarat-Mesyuarat yang Berkaitan Dengannya yang diadakan di Pusat Konvensyen Nasional, Vientiane, Republik Demokratik Rakyat Lao pada 26 – 27 September 2024. Yang Berhormat merupakan menteri yang bertanggungjawab ke atas Tenaga turut diiringi oleh Tuan Yang Terutama Haji Rosli bin Haji Yacub, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Demokratik Rakyat Lao, Yang Mulia Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib, Setiausaha Tetap (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri selaku Ketua Pegawai Kanan Tenaga ASEAN bagi Negara Brunei Darussalam dan pegawai-pegawai dari Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri.
Republik Demokratik Rakyat Lao sebagai tuan rumah kepada Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN kali ke-42 dan Mesyuarat-Mesyuarat yang Berkaitan Dengannya. Yang Berhormat Phosay Sayasone, Menteri Tenaga dan Perlombongan, Republik Demokratik Rakyat Lao selaku pengerusi mesyuarat AMEM dan Yang Amat Berbahagia Dato' Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri yang juga merupakan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Malaysia, selaku timbalan pengerusi AMEM, telah sama - sama merasmikan secara serentak Majlis Pembukaan bagi Mesyuarat AMEM kali ke-42 dan juga Forum Perniagaan Tenaga ASEAN (ASEAN Energy Business Forum, AEBF) 2024. Dialog perbincangan dengan Timbalan Ketua Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) dan Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (IRENA) juga telah diadakan bersempena dengan Mesyuarat AMEM Kali ke-42 itu. Mesyuarat juga telah mengalu-alukan kehadiran Menteri Petroleum dan Sumber Mineral Timor-Leste sebagai Observer.
Dengan bertemakan “ASEAN: Enhancing Connectivity and Resilience" , Mesyuarat AMEM ke-42 pada tahun ini menekankan kepentingan Mesyuarat AMEM sebagai landasan untuk memastikan bahawa usaha-usaha kolektif ASEAN didalam mengukuhkan Komuniti ASEAN bagi merebut peluang dan menangani cabaran semasa dan yang akan datang dapat dilaksanakan dengan berkesan. Ia juga bertanggungjawab dalam memastikan perlaksanaan Pelan Tindakan ASEAN untuk Kerjasama Tenaga (ASEAN Plan of Action on Energy Cooperation, APAEC) yang mana pelan ini berperanan penting dalam memacukan keselamatan tenaga, kebolehcapaian, kemampuan dan kemampanan di dalam ASEAN. Mesyuarat juga telah menekankan kemajuan didalam membangunkan APAEC Pasca-2025 yang merujuk kepada Pelan Strategik AEC 2026-2030 yang mana menekankan kepentingan untuk mencipta pelan sektoral bagi menangani cabaran-cabaran tenaga yang berkembang di rantau ini dan megatren yang global. Mesyuarat AMEM Kali ke 42 ini juga mengambil maklum akan kepentingan perundingan dengan pihak pihak berkepentingan terutamanya Negara-Negara Anggota ASEAN (AMS), Rakan Kongsi Dialog (DP) dan Organisasi Antarabangsa (IO) didalam memastikan bahawa APAEC Pasca-2025 mencerminkan pelbagai perspektif dan keutamaan. Mesyuarat tersebut dengan itu telah menyokong tema bagi APAEC 2026-2030 iaitu Advancing Regional Cooperation in Ensuring Energy Security and Accelerating Decarbonisation for a Just and Inclusive Energy Transition.
Yang Berhormat juga berkesempatan mengadakan sesi rangkaian (networking session) dengan Ketua Perwakilan lain dari negara anggota ASEAN, termasuk pengerusi mesyuarat AMEM kali ke-42, Yang Berhormat Phosay Sayasone, Menteri Tenaga dan Perlombongan, Republik Demokratik Rakyat Lao dan Yang Berhormat Francisco Da Costa Monteiro, Menteri Petroleum dan Sumber Mineral Timor-Leste.
Mesyuarat Peringkat Menteri itu juga telah mengadoptasi Kenyataan Bersama Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN kali ke-42 dan juga Kenyataan Bersama Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN + 3 kali ke-21. Selain daripada Mesyuarat AMEM Kali ke 42 ini, mesyuarat yang diadakan selama dua hari itu telah berlangsungnya beberapa buah Mesyuarat peringkat Menteri yang berkaitan iaitu Sesi Dialog antara Menteri-Menteri Tenaga ASEAN dan Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) dan Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (IRENA); Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN Campur 3 kali ke-21; dan Mesyuarat Kemuncak Asia Timur Menteri-Menteri Tenaga ASEAN kali ke-18 yang mana telah dipengerusikan oleh Republik Demokratik Rakyat Lao. Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) kali ke-43 seterusnya akan diadakan di Malaysia.