Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pagi ini berkenan mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Brunei LNG Sendirian Berhad (BLNG) Ke-224 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah Brunei Gas Carriers Sendirian Berhad (BGC) Ke-110 bagi Suku Keempat tahun 2024. Mesyuarat tersebut berlangsung di Bangunan Jabatan Perdana Menteri.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, dan Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd. Hanifah, Timbalan Menteri (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri selaku ahli-ahli Lembaga Pengarah BLNG dan BGC.
Pada permulaan Mesyuarat tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan titah yang mana Baginda telah mengimbas kembali cabaran, pencapaian, dan pembelajaran yang diperoleh oleh Syarikat-Syarikat Brunei Shell Joint Venture sepanjang tahun 2024, seterusnya menggalakkan kerjasama erat dan tindakan segera antara pihak-pihak berkepentingan dan ahli-ahli pengurusan. Baginda turut menekankan kepentingan bagi kesemua Syarikat-Syarikat Brunei Shell Joint Venture untuk mengekalkan standard etika dan pematuhan yang tertinggi, serta memupuk budaya integriti di semua peringkat organisasi.
Mesyuarat tersebut dimulakan dengan bacaan Doa, dan juga dihadiri oleh pihak-pihak berkepentingan termasuk Shareholder Directors yang mewakili Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam; Shell plc dan Mitsubishi Corporation serta ahli-ahli pengurusan daripada BLNG dan BGC.
Mesyuarat tersebut membincangkan pelbagai bidang kritikal termasuk pencapaian operasi, keselamatan, kewangan dan pembangunan tenaga manusia. Selain itu, mesyuarat juga menetapkan hala tuju strategik BLNG dan BGC bagi tahun-tahun yang akan datang.
Selepas mesyuarat tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga berkenan memotong Kek Ulang Tahun bagi memperingati sambutan Ulang Tahun Ke-55 Syarikat BLNG sejak penubuhannya pada 9hb., Disember, 1969, sebagai syarikat pertama di Pasifik Barat yang memulakan pencairan gas asli secara besar-besaran.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah-Pengarah Brunei Shell Petroleum Sendirian Berhad (BSP) Ke-413 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah-Pengarah Brunei Shell Marketing Sendirian Berhad (BSM) Ke-191 bagi Suku Keempat tahun 2024 pada hari Selasa, 10 Disember 2024.