Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pagi ini berkenan mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Brunei Shell Petroleum Sendirian Berhad (BSP) Ke-413 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah Brunei Shell Marketing Sendirian Berhad (BSM) Ke-191 bagi Suku Keempat tahun 2024. Mesyuarat tersebut berlangsung di Bangunan Jabatan Perdana Menteri.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, dan Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd. Hanifah, Timbalan Menteri (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri selaku ahli-ahli Lembaga Pengarah BSP dan BSM.
Pada Mesyuarat berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan titah menekankan keperluan bagi kepimpinan yang kukuh, bersama dengan kepakaran teknikal, komitmen yang teguh, dan usaha bersepadu kalangan Syarikat Brunei Shell Joint Venture dan BGC menghadapi cabaran masa depan dengan jayanya.
Mesyuarat tersebut dimulakan dengan bacaan Doa, dan juga dihadiri oleh pihak-pihak berkepentingan termasuk Shareholder Directors yang mewakili Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Shell plc serta ahli-ahli pengurusan daripada BSP dan BSM.
Mesyuarat telah membincangkan bidang-bidang kritikal seperti prestasi operasi, keselamatan, kewangan dan pembangunan tenaga manusia, serta menetapkan hala tuju strategik BSP dan BSM bagi tahun-tahun yang akan datang.
Mesyuarat tersebut merupakan persidangan terakhir bagi Mesyuarat-Mesyuarat Lembaga Pengarah-Pengarah Syarikat-Syarikat Brunei Shell Joint Venture dan BGC bagi Suku Keempat tahun 2024.