Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pagi ini berkenan mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Brunei LNG Sendirian Berhad (BLNG) Ke-225 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah Brunei Gas Carriers Sendirian Berhad (BGC) Ke-111 bagi Suku Pertama tahun 2025. Mesyuarat tersebut berlangsung di Bangunan Jabatan Perdana Menteri.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, dan Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd. Hanifah, Timbalan Menteri (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri selaku ahli-ahli Lembaga Pengarah BLNG dan BGC.
Pada permulaan Mesyuarat, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan titah. Dalam titah tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menzahirkan penghargaan di atas kemajuan yang telah dicapai oleh Syarikat-Syarikat Brunei Shell Joint Ventures dan Syarikat BGC sepanjang tahun 2024 dalam bidang-bidang utama. Baginda juga seterusnya menekankan kepentingan untuk mengekalkan pencapaian ini serta untuk terus memperkukuhkan lagi usaha ke arah kecemerlangan. Baginda juga menggalakkan komitmen berterusan daripada kakitangan dan kepimpinan dalam meningkatkan prestasi syarikat. Selain itu, Baginda menegaskan bahawa perancangan jangka panjang adalah asas penting dalam memastikan kemampanan dan daya saing Brunei Shell Joint Ventures dan Syarikat BGC, serta meletakkan asas yang kukuh untuk pertumbuhan dan kejayaan syarikat yang berterusan.
Mesyuarat tersebut membincangkan aspek utama seperti prestasi operasi, keselamatan, kewangan, dan pembangunan tenaga manusia, di samping menetapkan hala tuju strategik bagi BLNG dan BGC untuk tahun-tahun mendatang.
Mesyuarat tersebut dimulakan dengan bacaan Doa, dan juga dihadiri oleh pihak pihak berkepentingan termasuk Shareholder Directors yang mewakili Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam; Shell plc dan Mitsubishi Corporation serta ahli-ahli kepimpinan daripada BLNG dan BGC.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya akan mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah-Pengarah Brunei Shell Petroleum Sendirian Berhad (BSP) Ke-414 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah-Pengarah Brunei Shell Marketing Sendirian Berhad (BSM) Ke-192 bagi Suku Pertama tahun 2025 pada hari esok.

