Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pagi ini berkenan mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Brunei Shell Petroleum Sendirian Berhad (BSP) Ke-414 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah Brunei Shell Marketing Sendirian Berhad (BSM) Ke-192 bagi Suku Pertama tahun 2025. Mesyuarat tersebut berlangsung di bangunan Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah, Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, dan Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah, Timbalan Menteri (Tenaga) di JPM selaku ahli-ahli Lembaga Pengarah BSP dan BSM.
Pada Mesyuarat berkenan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan mengurniakan titah. Baginda menggesa semua pihak berkepentingan untuk terus fokus dalam meningkatkan standard keselamatan, menambah baik kebolehpercayaan operasi dan integriti aset, meningkatkan kecemerlangan pelaksanaan, dan membina prestasi kepimpinan yang kukuh sebagai langkah ke hadapan di tahun 2025. Dalam titah Baginda, Baginda menyeru agar komitmen yang teguh dalam tadbir urus yang berkesan, etika dan pematuhan sentiasa diterapkan di dalam operasi bagi memastikan kemampanan, kredibiliti dan kejayaan jangka panjang, yang mana akan menjadi kunci untuk menjamin pertumbuhan yang berterusan dan berkekalan.
Mesyuarat tersebut dimulakan dengan bacaan Doa, dan juga dihadiri oleh pihak-pihak berkepentingan termasuk Shareholder Directors yang mewakili Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam; Shell plc serta ahli-ahli kepimpinan daripada BSP dan BSM.
Mesyuarat juga turut membincangkan bidang-bidang penting seperti prestasi operasi, keselamatan, kewangan dan pembangunan tenaga manusia. Mesyuarat tersebut menandakan berakhirnya sesi Mesyuarat-Mesyuarat Lembaga Pengarah-Pengarah Syarikat-Syarikat Brunei Shell Joint Venture bagi Suku Pertama 2025.