Berita

Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN kali ke-43 (43rd AMEM)
Jumaat, 17 Oktober 2025

Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-43 (AMEM) dan Mesyuarat-Mesyuarat yang Berkaitan Dengannya telah diadakan dengan menegaskan semula komitmen untuk memperkukuhkan lagi kerjasama tenaga serantau ASEAN, menangani cabaran bersama, serta mempercepatkan peralihan rantau ini ke arah masa depan tenaga yang lebih selamat, mampan dan bersepadu.

Delegasi Negara Brunei Darussalam ke mesyuarat ini telah diketuai oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri and Menteri Pertahanan II. Yang Berhormat Pehin, selaku Menteri yang bertanggungjawab bagi hal ehwal tenaga, turut disertai oleh Yang Mulia Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib, Setiausaha Tetap (Tenaga) sebagai Ketua Pegawai Tenaga Kanan bagi Brunei Darussalam; serta pegawai-pegawai dari Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri.

Mesyuarat selama dua hari bermula dari 16 hingga 17 Oktober dan telah berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Malaysia, di bawah Pengerusi ASEAN, Malaysia bagi tahun 2025, dengan tema “Powering ASEAN: Bridging Boundaries, Building Prosperity”. Tema ini melengkapi tema utama Pengerusi ASEAN iaitu “Inklusiviti dan Kelestarian”, dan menekankan usaha memperkukuh ASEAN Power Grid (APG) bagi meningkatkan keterhubungan tenaga serantau dan pertumbuhan ekonomi mampan.  Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah merasmikan majlis perasmian bersama Mesyuarat Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) ke-43 dan mesyuarat berkaitan, serta Forum Perniagaan Tenaga ASEAN (AEBF) ke-25.

Mesyuarat ini menandakan satu pencapaian penting dalam kerjasama tenaga ASEAN dengan penandatanganan ‘Enhanced Memorandum of Understanding on the ASEAN Power Grid (APG) dan ASEAN Framework Agreement on Petroleum Security (APSA)’ yang baharu. APG telah ditegaskan semula sebagai teras dalam mempromosi perdagangan kuasa serantau, meningkatkan keselamatan tenaga, dan mendokong integrasi tenaga boleh diperbaharui. Sementara itu, APSA yang baharu diiktiraf sebagai mekanisme penting untuk menjamin keselamatan bekalan minyak dan gas semasa gangguan bekalan, memperkukuh penyelarasan tindak balas kecemasan, dan meningkatkan daya tahan sistem tenaga serantau secara keseluruhan. Selain itu, mesyuarat turut mengumumkan pelancaran ‘ASEAN Power Grid Financing Initiative’ (APGF), iaitu satu mekanisme serantau untuk menggerakkan pelaburan awam dan swasta dalam meningkatkan perdagangan elektrik rentas sempadan, kebolehpercayaan sistem, dan integrasi tenaga boleh diperbaharui.

Mesyuarat juga telah meluluskan Pelan Tindakan ASEAN untuk Kerjasama Tenaga (APAEC) 2026–2030, dengan tema, “Advancing Regional Cooperation in Ensuring Energy Security and Accelerating Decarbonisation for a Just and Inclusive Energy Transition”, yang akan menjadi pelan tindakan panduan untuk agenda tenaga ASEAN dalam tempoh lima tahun akan datang. APAEC 2026–2030 diiktiraf sebagai pencapaian penting, menyelaraskan keutamaan tenaga ASEAN dengan Wawasan ASEAN 2045 dan Pelan Strategik Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2026–2030. Ia menetapkan laluan yang jelas untuk memastikan keselamatan tenaga, memajukan kesalinghubungan serantau, meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui, meningkatkan kecekapan tenaga dan menerima teknologi baru muncul. Mesyuarat juga menegaskan semula kepentingan mengukuhkan perkongsian dengan Rakan Dialog dan Organisasi Antarabangsa untuk menyokong peralihan tenaga ASEAN.  Mesyuarat mengalu-alukan inisiatif yang berterusan dan baharu di bawah pelbagai kerjasama dengan Rakan Dialog dan organisasi Antarabangsa, yang bertujuan untuk menyokong pelaksanaan APAEC.

Di samping mesyuarat rasmi, Yang Berhormat juga telah mengadakan perbincangan bersama pemimpin-pemimpin tenaga ASEAN lain, termasuk Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Malaysia, selaku pengerusi AMEM ke-43, serta Yang Berhormat Francisco Da Costa Monteiro, Menteri Petroleum dan Sumber Mineral Timor-Leste.

Mesyuarat ini turut meluluskan Kenyataan Media Bersama bagi Mesyuarat AMEM ke-43, Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN+3 ke-22, dan Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga Sidang Kemuncak Asia Timur ke-19. Di samping AMEM ke-43, Brunei Darussalam juga telah mengambil bahagian dalam beberapa sesi dialog berprofil tinggi, termasuk sesi bersama Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) dan Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (IRENA) sebagai sebahagian daripada kerjasama berterusan ASEAN dengan rakan-rakan antarabangsa dalam menyokong usaha peralihan tenaga serantau.

Disamping  mesyuarat AMEM yang ke-43, Yang Berhormat juga telah menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri bagi Asia Zero Emission Community (AZEC) yang ke-3 yang diadakan pada sebelah petang 17 Oktober selepas 43rd AMEM. AZEC merupakan inisiatif yang ditubuhkan oleh Kerajaan Jepun pada 2023 bagi mempromosikan penyahkarbonan dan karbon neutraliti diantara rakan negara-negara yang ikut serta inisiatif tersebut, termasuk Australia, Brunei, Cambodia, Indonesia, Japan, Laos, Malaysia, Philippines, Singapore, Thailand dan Vietnam. Pada mesyuarat ini rakan negara-negara memperakui Kenyataan Bersama bagi Mesyuarat Menteri-Menteri AZEC yang ke-3, dimana kenyataan tersebut menekankan konsep “one goal, various pathways” dalam segala usaha untuk menangani perubahan iklim, menggalakkan pertumbuhan ekonomi inklusif dan mencapai keselamatan tenaga selaras dangan persetujuan-persetujuan antarabangsa, yang mengiktiraf keadaan ekonomi, social dan sejarah unik bagi setiap negara-negara membangun. Perbincangan dalam mesyuarat ini akan dimuktamadkan pada Mesyuarat Pemimpin AZEC.

Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-44 dijadualkan berlangsung pada tahun 2026 di Republik Filipina

|   TERKINI

Syarikat Brunei Methanol Raikan 15 Tahun Penubuhan

Syarikat Brunei Methanol Raikan 15 Tahun Penubuhan

Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja (B) Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II menghadiri majlis memperingati ulang tahun ke-15 Syarikat Brunei Methanol (BMC), selakuTetamu...

baca lagi