Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, serta Menteri yang bertanggungjawab bagi Tenaga, telah menghadiri secara maya Mesyuarat Menteri-Menteri OPEC dan bukan OPEC ke-40 (40th ONOMM) pada 30 November 2025. Turut hadir dalam Mesyuarat tersebut ialah Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Muhammad Azmi bin Haji Mohd Hanifah, Timbalan Menteri (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Mulia Awang Haji Asrul Adrain bin Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Ahmad, Pemangku Setiausaha Tetap (Fiskal I), Kementerian Kewangan dan Ekonomi.
Semasa mesyuarat secara maya berlangsung, Negara-Negara Peserta OPEC dan bukan OPEC telah menegaskan komitmen jangka panjang mereka dalam Pengisytiharan Kerjasama (DoC) untuk menyokong pasaran minyak global yang stabil dan seimbang. Mesyuarat turut menekankan kesinambungan tahap pengeluaran minyak mentah yang sedia ada sehingga akhir tahun 2026 serta memperkukuhkan peranan Jawatankuasa Pemantauan Bersama Menteri (JMMC) dalam pemantauan keadaan pasaran dan tahap pematuhan negara-negara peserta. Jawatankuasa tersebut akan terus bersidang setiap dua bulan dan akan mengadakan mesyuarat tambahan sekiranya perkembangan pasaran memerlukan tindakan segera.
Sesi ini juga meluluskan mekanisme baharu bagi menilai kapasiti pengeluaran maksimum yang mampan, yang akan dijadikan asas bagi penetapan garis dasar pengeluaran tahun 2027. Para peserta turut menegaskan kembali Piagam Kerjasama (CoC) dan memohon Sekretariat OPEC untuk mengalihkannya kepada program yang kukuh menjelang Mesyuarat Menteri-Menteri seterusnya yang dijadualkan akan diadakan pada 7 Jun 2026. Penyertaan Brunei Darussalam mencerminkan sokongan berterusan negara terhadap usaha kolaboratif bagi memastikan kestabilan, ketelusan, dan kelestarian jangka panjang dalam pasaran tenaga global.
Negara-negara yang mengambil bahagian dalam Pengisytiharan Kerjasama (DoC) juga bersetuju untuk melanjutkan tahap keseluruhan pengeluaran minyak mentah bagi negara-negara OPEC dan bukan OPEC seperti yang dipersetujui dalam Mesyuarat Menteri-Menteri ke-35 sehingga 31 Disember 2026.
Mesyuarat ONOMM ke-41 dijadualkan untuk diadakan pada 07 Jun 2026 di Vienna, Austria.




