Berita

Berkenan Mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat Brunei LNG ke-227 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat BGC ke-113 bagi Suku Keempat tahun 2025
Isnin, 8 Disember 2025

Perbincangan mengenai pelan perniagaan dan strategi hendaklah bersifat berpandangan jauh, selaras dengan hala tuju negara ke arah pertumbuhan mampan dan peningkatan nilai.

Ini termasuk memperkukuhkan daya saing pada masa hadapan, meningkatkan keberkesanan kaedah kerja, mempercepat adaptasi kepada perubahan industri tenaga global, serta menetapkan hala tuju nilai yang lebih jelas dan inovatif. 

Perkara tersebut ditekankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa berkenan mengurniakan titah ketika mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat Brunei LNG Sdn Bhd (Brunei LNG) ke-227 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat Brunei Gas Carriers Sdn Bhd (BGC) ke-113 bagi Suku Keempat tahun 2025, yang berlangsung di bangunan Jabatan Perdana Menteri (JPM). 

Selain itu, Baginda turut mengiktiraf prestasi kukuh serta kemajuan yang dicapai sepanjang tahun ini, khususnya dalam memastikan kecekapan operasi, kedudukan kewangan yang berdaya tahan, serta komitmen terhadap keselamatan. 

Sehubungan itu, Baginda menekankan bahawa perbincangan sepanjang dua hari yang akan datang adalah amat penting bagi menumpukan pelan perniagaan dan strategi setiap syarikat bagi tahun-tahun mendatang. 

Terdahulu, keberangkatan tiba Baginda Sultan dijunjung oleh Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah; dan Timbalan Menteri (Tenaga) di JPM, Dato Seri Paduka Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah, selaku ahli-ahli Lembaga Pengarah BLNG dan BGC.

Mesyuarat tersebut dimulakan dengan bacaan doa. Pada permulaan mesyuarat, Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah. 

Mesyuarat tersebut juga dihadiri oleh pihak-pihak berkepentingan termasuk shareholder directors yang mewakili kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia; Shell plc termasuk Executive Vice President of Conventional Oil and Gas at Shell dan Mitsubishi Corporation, Richard Howe; Division Chief Operating Officer, LNG-Asia Pacific Division, Environmental Energy Group at Mitsubishi Corporation, Gen Kunihiro; serta ahli-ahli kepimpinan daripada BLNG dan BGC.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya akan mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah-pengarah Brunei Shell Petroleum Sdn Bhd (BSP) ke-417 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah-pengarah Syarikat Pemasaran Shell Brunei Sdn Bhd (BSM) ke-195 bagi Suku Keempat tahun 2025, esok.

|   TERKINI

Kunjungan Perpisahan Daripada Duta Republik Rakyat China

Kunjungan Perpisahan Daripada Duta Republik Rakyat China

Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah, Timbalan Menteri (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri telah menerima Kunjungan Perpisahan daripada Tuan Yang Terutama Xiao Jianguo, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara...

baca lagi