Yang Mulia Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra, Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri menghadiri Perhimpunan Agung Agensi Tenaga Yang Boleh Diperbaharui Antarabangsa (IRENA) kali ke-16 dan Minggu Kelestarian Abu Dhabi (ADSW) ke-16, yang diadakan pada 11 – 12 Januari dan 13 – 15 Januari, Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke-16.
Perhimpunan Agung IRENA ke-16 memberi tumpuan kepada pemajuan dan penyelesaian tenaga yang boleh diperbaharui untuk mengukuhkan keselamatan tenaga, meningkatkan produk makanan pertanian dan menyokong peralihan tenaga global yang inklusif dan kos efektif. ADSW 2026, bertemakan “The Nexus of Next: All Systems Go,” menghimpunkan pemimpin global untuk menghubungkan cita-cita dengan tindakan merentas inovasi, kewangan dan manusia.
Negara Brunei Darussalam mengesahkan komitmennya terhadap peralihan tenaga, berpandukan sasaran yang jelas iaitu dengan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 20% menjelang 2030 dan mencapai sekurang-kurangnya 30% bahagian tenaga boleh diperbaharui dalam jumlah kapasiti terpasang menjelang 2035. Untuk mencapai matlamat ini, Negara Brunei Darussalam sedang memajukan beberapa projek dan usaha seperti projek Janakuasa Suria berskala besar yang pertama yang bakal siap pada penghujung 2026, usaha pemajuan grid nasional, projek interconnection rentas sempadan, meneroka teknologi rendah karbon, dan mengukuhkan kesediaan tenaga kerja melalui inisiatif seperti Kemahiran dan Kapasiti untuk Tenaga Karbon Rendah Alternatif (SCALE), semuanya disokong oleh perkongsian serantau dan global yang kukuh – termasuk IRENA – ke arah masa depan tenaga yang mampan, inklusif dan sejahtera untuk semua orang dan generasi akan datang.




