Satu Sesi Townhall anjuran bersama Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri dan Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) telahpun diadakan di Teater Mini SPARK, pada 20 April 2026 menekankan manfaat kecekapan tenaga sebagai penyelesaian praktikal untuk mengurangkan kos operasi perniagaan yang beroperasi di Taman Perindustrian Sungai Bera. Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Mulia Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib, Setiausaha Tetap (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri.
Turut hadir ialah Yang Mulia Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra, Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri, serta Pegawai-Pegawai dariapda Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri dan BEDB.
Sesi tersebut menghimpunkan penyewa taman perindustrian, institusi kewangan dan pihak-pihak yang berkepentingan untuk membantu perniagaan lebih memahami cara mengoptimumkan penggunaan tenaga mereka, mengurangkan kos elektrik dan meneroka penggunaan solar melalui sokongan teknikal dan pembiayaan yang tersedia.
Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha Jabatan Tenga yang lebih meluas untuk memacu kecekapan tenaga dan daya saing kos operasi perniagaan di seluruh sektor komersial dan Perindustrian Negara Brunei Darussalam. Taman Perindustrian Sungai Bera telah dikenal pasti sebagai perintis yang memanfaatkan lokasi bersama syarikat untuk membolehkan model berskala yang diselaraskan untuk replikasi merentas kawasan perindustrian lain.
Dalam ucapan alu-aluannya, Yang Mulia Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib, Setiausaha Tetap (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri, menekankan kepentingan kecekapan tenaga sebagai titik permulaan utama dalam meningkatkan daya saing perniagaan dan mengoptimumkan penggunaan tenaga. Beliau berkata usaha sedemikian boleh dilengkapkan lagi dengan penyelesaian seperti penggunaan teknologi solar untuk meningkatkan kecekapan dan kemampanan kos jangka panjang. Usaha ini dibina berdasarkan pengauditan tenaga yang dijalankan oleh Jabatan Tenaga, yang memberikan pandangan tentang corak penggunaan dan menyerlahkan peluang yang boleh diambil tindakan untuk mengurangkan penggunaan tenaga dan kos. Kecekapan tenaga juga merupakan komponen penting dalam memastikan kesiapsiagaan sektor komersial bagi menangani impak kepada perubahan struktur tarif elektrik progresif baharu yang akan berkuatkuasa mulai 2028.
Yang Mulia Daniel Leong, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif BEDB, menekankan kepentingan kesedaran tindakan praktikal untuk perniagaan, “Bagi kebanyakan perniagaan, bil elektrik merupakan perbelanjaan operasi yang ketara. Inisiatif ini adalah tentang membantu syarikat meningkatkan kecekapan, mengurus kos dan mengambil langkah praktikal seterusnya.
Semasa sesi itu, Jabatan Tenaga menggariskan inisiatif yang lebih luas untuk menyokong peralihan Taman Perindustrian Sungai Bera ke arah ekosistem perindustrian yang lebih cekap tenaga dan rendah karbon. Langkah-langkah praktikal telah dikongsi untuk membimbing penyewa dalam meningkatkan prestasi tenaga, disokong oleh cerapan tentang rangka kerja kawal selia dan dasar yang tersedia. Berdasarkan pengalamannya di Pusat SPARK, BEDB juga menunjukkan cara penggunaan solar boleh memberikan faedah operasi yang ketara dan penjimatan kos untuk perniagaan.
Program ini menampilkan beberapa siri ceramah dan perbincangan panel interaktif, dengan wakil daripada industri dan sektor kewangan. Sesi ini menangani cabaran biasa yang dihadapi oleh perniagaan, termasuk kerumitan teknikal, pertimbangan pelaburan awal dan akses kepada pembiayaan, sambil memberikan panduan praktikal tentang penyelesaian yang tersedia.
Taman Perindustrian Sungai Bera dijangka menjadi model perintis untuk usaha serupa di seluruh taman perindustrian lain di Brunei Darussalam, menyokong usaha negara yang lebih luas untuk meningkatkan kecekapan perindustrian, mengukuhkan daya saing perniagaan, dan menyumbang kepada kepelbagaian ekonomi.
Sesi Townhall tersebit diakhiri dengan komitmen bersama antara agensi kerajaan, pemain industri dan institusi kewangan untuk terus bekerjasama menyokong perniagaan dalam menerima pakai penyelesaian praktikal dan kos efektif yang memacu pertumbuhan jangka panjang dan kemampanan.




