Berita

MESYUARAT MENTERI-MENTERI OPEC DAN BUKAN OPEC KALI KE-41
Ahad, 7 Jun 2026

Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tenaga, Huluan dan Hiliran) telah menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri OPEC dan bukan OPEC kali ke-41 (41st ONOMM) yang diadakan secara dalam talian pada 7 Jun 2026. Turut hadir dalam Mesyuarat tersebut ialah Yang Mulia Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib, Setiausaha Tetap (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Mulia Awang Haji Asrul Adrain bin Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Ahmad, Pemangku Setiausaha Tetap (Fiskal I), Kementerian Kewangan.

Semasa mesyuarat yang berlangsung, Negara-Negara Peserta OPEC dan bukan OPEC telahpun menegaskan komitmen jangka panjang mereka dalam Pengisytiharan Kerjasama (DoC) untuk menyokong pasaran minyak global yang stabil dan seimbang. Mesyuarat turut menekankan kesinambungan tahap pengeluaran minyak mentah yang sedia ada sehingga akhir tahun 2026 serta memperkukuhkan peranan Jawatankuasa Pemantauan Bersama Menteri (JMMC) dalam pemantauan keadaan pasaran dan tahap pematuhan peserta negara-negara.

Mesyuarat juga telah meluluskan pelan yang dibangunkan oleh Sekretariat OPEC untuk mencapai objektif Piagam Kerjasama (Charter of Cooperation – CoC), yang telah ditandatangani pada 2 Julai 2019. Mesyuarat juga menekankan kepentingan bagi melengkapkan mekanisme bagi menilai kapasiti pengeluaran maksimum mampan (Maximum Sustainable Production Capacity – MSC) untuk digunakan sebagai rujukan bagi garis dasar pengeluaran tahun 2027 bagi semua negara-negara peserta DoC. Penyertaan Brunei Darussalam mencerminkan sokongan berterusan negara ini terhadap usaha kolaboratif bagi memastikan kestabilan, ketelusan, dan kelestarian jangka panjang dalam pasaran tenaga global.

Negara-negara yang mengambil bahagian dalam Pengisytiharan Kerjasama (DoC) juga bersetuju untuk melanjutkan tahap keseluruhan pengeluaran minyak mentah bagi negara-negara OPEC dan bukan OPEC seperti yang dipersetujui dalam Mesyuarat Menteri-Menteri ke-35 sehingga 31 Disember 2026.

|   TERKINI