Berita

Persidangan Antarabangsa Peringkat Menteri Mengenai Dengan Tenaga Nuklear
Selasa, 27 Oktober 2026

Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tenaga, Huluan dan Hiliran), telah menyertai Persidangan Menteri-Menteri Antarabangsa Ke-Enam mengenai Tenaga Nuklear yang berlangsung di Incheon, Republik Korea, dari 27 hingga 29 Oktober 2026. Hadir bersama Yang Berhormat Menteri ialah Yang Mulia Pengiran Hajah Adimasyaton binti Pengiran Haji Omar Ali, Setiausaha Tetap (Tenaga, Huluan dan Hiliran) di Jabatan Perdana Menteri, serta pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Tenaga, Huluan dan Hiliran di Jabatan Perdana Menteri.

Persidangan yang dianjurkan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (International Atomic Energy Agency – IAEA) dan dihoskan oleh Kerajaan Republik Korea melalui Kementerian Sains dan ICT itu telah menghimpunkan wakil-wakil daripada 60 buah kerajaan, 8 buah organisasi antarabangsa dan 85 buah syarikat. Perbincangan merangkumi strategi tenaga nuklear, keselamatan dan kawal selia nuklear, pembiayaan, pembangunan tenaga kerja, kerjasama antarabangsa serta teknologi baharu, khususnya Reaktor Modular Kecil (Small Modular Reactors – SMRs), dalam konteks peningkatan permintaan elektrik, keselamatan tenaga dan pembangunan mampan.

Dalam Kenyataan Negara Brunei Darussalam yang telah disampaikan pada 27 Oktober 2026, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah telah menegaskan komitmen Negara Brunei Darussalam terhadap masa depan tenaga yang terjamin, mampu milik dan mampan, selaras dengan Wawasan Brunei 2035. Kenyataan tersebut menjelaskan bahawa Negara Brunei Darussalam masih berada pada peringkat awal dalam menilai potensi tenaga nuklear sebagai salah satu pilihan tenaga jangka panjang, berpandukan Pendekatan Milestone IAEA (IAEA Milestones Approach). Kenyataan tersebut turut mengetengahkan kerjasama dengan IAEA, termasuk melalui Program Kerjasama Teknikal (Technical Cooperation Programme) dan Rangka Kerja Program Negara 2025–2031 (Country Programme Framework), yang telah ditandatangani pada 18 September 2026, serta kerjasama serantau dalam ASEAN, termasuk melalui Rangkaian Badan Kawal Selia Tenaga Atom ASEAN (ASEAN Network of Regulatory Bodies on Atomic Energy – ASEANTOM).

Delegasi mengadakan lawatan ke ruang pameran nuklear dari Republik Korea, China dan Rusia yang mempamerkan pelbagai perkembangan dalam teknologi tenaga nuklear, termasuk reaktor konvensional, Reaktor Modular Kecil (SMRs), reka bentuk reaktor termaju, keupayaan pembuatan, kitaran bahan api nuklear, pengurusan sisa radioaktif serta aplikasi baharu dalam sektor perindustrian dan maritim. Delegasi juga telah mengadakan lawatan ke Terminal Pengegasan Semula Gas Asli Cecair (LNG) milik Korea Gas Corporation (KOGAS), yang memberikan pendedahan secara langsung mengenai infrastruktur dan operasi terminal berkenaan, termasuk jeti penerimaan kargo LNG, kemudahan penyimpanan dan unit pengegasan semula. Lawatan tersebut telah mengetengahkan kepentingan bekalan bahan api yang terjamin serta infrastruktur sokongan dalam memastikan kesinambungan bekalan gas kepada sektor penjanaan tenaga elektrik. Lawatan ini turut memberikan input yang relevan kepada Pelan Induk Tenaga Negara Brunei Darussalam (Energy Master Plan – EMP), khususnya dalam aspek keselamatan tenaga, pengoptimuman infrastruktur sedia ada dan perancangan kapasiti jangka panjang.

Penyertaan Negara Brunei Darussalam mencerminkan penglibatan berterusan negara dalam dialog antarabangsa berkaitan tenaga bersih dan terjamin. Persidangan dan lawatan teknikal tersebut turut memberikan peluang yang bernilai untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa, bertukar-tukar pengetahuan teknikal serta meningkatkan kefahaman negara mengenai teknologi nuklear dan infrastruktur tenaga. Penglibatan ini akan menyokong penilaian Negara Brunei Darussalam yang teliti dan berasaskan bukti terhadap tenaga nuklear sebagai salah satu pilihan tenaga jangka panjang, di samping menyumbang kepada usaha mempelbagaikan sumber tenaga serta memperkukuh daya tahan sektor tenaga negara.

|   TERKINI