Berita

Forum Kemuncak Tenaga Bersih Asia Timur Kali ke 7
Selasa, 4 November 2025

Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah, Timbalan Menteri (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri menghadiri 7th East Asia Summit Clean Energy Forum (EAS CEF) pada 4 hingga 5 November 2025 yang diadakan di Fuzhou, Wilayah Fujian, Republik Rakyat China. Dianjurkan bersama oleh Pentadbiran Tenaga Kebangsaan China (NEA), Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Malaysia dan Kerajaan Rakyat Wilayah Fujian China, di Fuzhou, Wilayah Fujian, forum berkenaan berfungsi sebagai platform untuk pertukaran makmulat strategik yang berharga mengenai dengan pembangunan dan peralihan tenaga serantau, teknologi dan penggunaan tenaga bersih, serta peluang pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui.

Dalam ucaptamanya di Majlis Perasmian Forum, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Mohamad Azmi menekankan komitmen Negara Brunei Darussalam dalam sama-sama memajukan masa depan tenaga rendah karbon dan mampan bagi memastikan keselamatan tenaga jangka panjang, memacu pertumbuhan ekonomi, dan menggalakkan kemampanan tenaga. Beliau juga menggariskan kerjasama serantau sebagai langkah yang sangat penting untuk mencapai peralihan tenaga yang adil dan inklusif dengan menekankan kepentingan perkongsian kepakaran, teknologi dan pelaburan untuk mempercepatkan kemajuan kolektif di seluruh rantau ini.

Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah juga menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN-China dalam Kerjasama Tenaga pada 4 November 2025, yang mana beliau menggariskan kepentingan kesalinghubungan kuasa dua hala dan pelbagai hala dalam memajukan integrasi tenaga serantau dan menyokong peralihan ke arah masa depan rendah karbon.  Yang Mulia Dato juga menekankan kepentingan keselamatan tenaga dalam memupuk peluang ekonomi baharu dalam tenaga bersih dan mengurangkan pelepasan, sambil menitikberatkan peranan penting bagi kerjasama serantau dan perkongsian awam-swasta yang sejajar dengan tumpuan strategik Negara Brunei Darussalam.

Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Mohamad Azmi juga mengadakan kunjungan hormat bersama Tuan Yang Terutama He Yang, Vice Administrator of the National Energy Administration of the People’s Republic of China. Pada kunjungan hormat tersebut, kedua-dua belah pihak mengesahkan kerjasama kukuh diantara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China dan membincangkan peluang untuk memperdalam kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk sektor hiliran rendah karbon dan kuasa elektrik.

Turut hadir di Forum berkenaan ialah Yang Mulia Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra, Setiausaha Tetap (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri, yang juga turut menyampaikan ucaptamanya semasa Dialog Meja Bulat Tenaga Bersih ASEAN+3 ke-8. Beliau menekankan peranan penting penyimpanan tenaga (energy storage) dalam membina sistem kuasa yang berdaya tahan dan fleksibel dan menegaskan komitmen Negara Brunei Darussalam untuk memajukan kerjasama dan inovasi serantau di bawah rangka kerja ASEAN+3 ke arah masa depan tenaga yang mampan dan saling berkaitan.

Forum berkenaan turut dihadiri oleh Pihak Berkuasa Tenaga dari Negara Anggota ASEAN serta wakil daripada organisasi antarabangsa, perusahaan dan industry. Delegasi-delegasi tersebut secara meluas mengesahkan komitmen bersama mereka untuk meningkatkan keselamatan tenaga, mempromosikan inovasi, dan memupuk kerjasama serantau yang lebih erat dalam menyokong matlamat tenaga bersih ASEAN.

|   TERKINI

Kunjungan Perpisahan Daripada Duta Republik Rakyat China

Kunjungan Perpisahan Daripada Duta Republik Rakyat China

Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah, Timbalan Menteri (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri telah menerima Kunjungan Perpisahan daripada Tuan Yang Terutama Xiao Jianguo, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara...

baca lagi