Artikel

Gangguan Bekalan Elektrik Pada 17 Oktober 2023
Selasa, 17 Oktober 2023

Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE), Jabatan Perdana Menteri ingin memaklumkan orang ramai mengenai dengan status terkini gangguan bekalan elektrik yang berlaku baru-baru  ini pada 11.30 pagi, 17 Oktober 2023 yang menjejaskan sebahagian besar rakyat dan penduduk di seluruh negara. Pihak Jabatan telahpun mengerahkan pasukan teknikal bagi melaksanakan kerja membaik pulih bekalan tenaga elektrik.

Bekalan tenaga elektrik Berjaya dipulihkan secara berperingkat bermula 3 jam selepas terputusnya bekalan iaitu pada jam 2.20 petang dan majoriti pelanggan mula menerima bekalan tenaga elektrik pada jam 9.00 malam. Bekalan tenaga elektrik pulih sepenuhnya pada jam 2.22 pagi keesokan harinya.

JPE ingin memohon maaf atas kesulitan yang dialami oleh semua pelanggan yang terjejas dan ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa semua tindakan yang perlu dilaksanakan telahpun diambil mengikut prosedur keselamatan Jabatan. Siasatan awal mendapati bahawa gangguan tersebut berpunca daripada gangguan pada sistem transmisi 66kV yang seterusnya menjejaskan stesen janakuasa huluan di Daerah Brunei-Muara, Tutong dan Belait. Gangguan sistem 66kV berpunca daripada kegagalan salah satu komponen di pencawang 66kV Tungku.

Siasatan terperinci bagi mengenalpasti punca kegagalan komponen tersebut sedang giat dijalankan, yang akan merangkumi antara lain penilaian keseluruhan kitaran hayat komponen yang terjejas. Pihak JPE telah melakukan pemeriksaan pada pemasangan lain yang serupa dan telah mengambil tindakan sewajarnya. JPE ingin mengucapkan terima kasih kepada orang ramai atas kefahaman dan kerjasama yang baik semasa kakitangan Jabatan melaksanakan tindakan mitigasi penting ini.

JPE juga ingin mengambil peluang ini untuk mengesahkan komitmennya dalam membekalkan tenaga elektrik yang boleh dipercayai dan berterusan kepada pelanggannya. Bagi sebarang isu berkaitan bekalan tenaga elektrik, orang ramai bolehlah menghubungi Talian Darussalam 123

|   TERKINI