Artikel

I-Usahawan Lakar Pencapaian Penting
Sabtu, 1 Ogos 2020

Program i-Usahawan telahpun dilancarkah oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 1 Ogos 2018 bersempena dengan Sambutan Hari Belia Negara Ke-13, sebagai salah satu inisiatif baharu untuk menyediakan peluang perniagaan kepada bakal usahawan belia tempatan untuk menyertai dalam kontrak atau tender berisiko rendah secara kompetitif. Program ini bermula dengan 30 kontrak daripada industri minyak dan gas, dan sejak itu telah berkembang termasuk 42 kontrak sektor tenaga, daripada Kerajaan, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Badan-Badan Berkanun. Beberapa kontrak juga sedang dikenal pasti untuk sektor lain. Kontrak yang diberikan dijalankan dan diuruskan oleh 100% penduduk tempatan, daripada pemilik sehinggalah kepada pengurusan dan pekerja perniagaan.

Program ini dimulakan oleh Kementerian Tenaga dan aktivitinya dalam sektor tenaga terus diterajui oleh Kementerian untuk menyokong usaha negara ke arah memenuhi matlamat Wawasan Brunei 2035 (Wawasan Brunei 2035) untuk meningkatkan ekonomi dan membangunkan keupayaan tempatan, dengan mengutamakan penyertaan perniagaan tempatan dalam sektor tenaga.

Melalui program i-Usahawan ini, usahawan belia yang mengambil bahagian akan menjalani Latihan PKS sebelum ikut serta dalam tender. Latihan ini dikendalikan oleh Akademi Perniagaan Tenaga, yang diuruskan oleh syarikat Usahasama Brunei Shell (BSJV), atau Akademi Perniagaan Industri, di bawah bidang kuasa Darussalam Enterprise (DARe). Beberapa modul latihan termasuk proses perolehan, pengurusan sumber manusia, proses tender kerajaan, pengurusan HSSE, dan beberapa lagi. Para usahawan juga digalakkan untuk mendaftar dan menghadiri pelbagai program keusahawanan yang ditawarkan oleh DARe seperti Micro Bootcamp dan Start-Up Bootcamp, antara lain.

Program i-Usahawan mencacat kejayaan pada 6 Mac 2019 dengan majlis menandatangani perjanjian pertama melibatkan tiga perniagaan tempatan. Syarikat Amira Barakah telah dianugerahkan kontrak untuk menyediakan perkhidmatan kantin dan mesin layan diri untuk Syarikat Petroleum Brunei Shell Sdn Bhd manakala Munch Brunch Canteen dan Mortar Events telah dianugerahkan kontrak untuk menyediakan perkhidmatan pembersihan dan perkhidmatan pengurusan acara masing-masing untuk Brunei Gas Carriers Sdn Bhd, yang kemudiannya diikuti oleh 11 kontrak lainnya yang diberikan di bawah program ini.

Melalui 14 kontrak yang telah diberikan, lebih 170 warga tempatan telah diambil bekerja. Dalam tempoh pelaksanaan kontrak, usahawan diberi bimbingan yang sewajarnya untuk membantu dalam pembangunan perniagaan dan kemahiran keusahawanan mereka, serta memastikan sebarang cabaran diuruskan secara strategik. Kementerian juga menjalankan pemantauan berterusan terhadap perkembangan perniagaan melalui penglibatan suku tahunan dengan usahawan dan pemilik kontrak.

Usahawan-usahawan belia tempatan yang berminat untuk menyertai program ini hendaklah berumur 18-40 tahun dan tidak mempunyai kontrak terdahulu dengan Kerajaan, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Badan Berkanun Kerajaan dalam tempoh lima tahun kebelakangan dan mestilah terlibat secara aktif dalam operasi harian perniagaan. Perniagaan yang berjaya juga mesti diperbadankan sebagai Syarikat Sendirian Berhad selepas kontrak diberikan.

|   TERKINI