Berita

Jabatan Tenaga Memperkukuhkan Pengurusan Tenaga Industri Melalui Sebuah Bengkel bagi Penyewa Taman Perindustrian Sungai Bera
Rabu, 22 Julai 2026

Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri melalui Bahagian Peralihan Tenaga, bersama Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB), telah menganjurkan Bengkel Pengurusan Tenaga bagi penyewa-penyewa Taman Perindustrian Sungai Bera pada 22 Julai 2026 di Jabatan Perdana Menteri.

Bengkel ini merupakan susulan daripada sesi pertemuan antara Jabatan Tenaga bersama para penyewa Taman Perindustrian Sungai Bera pada bulan April 2026, yang menterjemahkan perbincangan sebelumnya kepada panduan praktikal mengenai pelaksanaan langkah-langkah pengurusan tenaga.  Bengkel tersebut dihadiri seramai 26 orang peserta yang terdiri daripada 14 buah syarikat bersama wakil-wakil daripada BEDB, bertujuan untuk memperkukuhkan lagi keupayaan industri dalam pengurusan tenaga serta menggalakkan pelaksanaan langkah-langkah praktikal kecekapan dan pemulihan tenaga (EEC).

Sesi in direka sebagai interaktif dan berorientasikan amali, para peserta dibimbing melalui langkah-langkah utama dalam perjalanan pengurusan tenaga bermula dengan memahami corak penggunaan elektrik dan mewujudkan garis dasar penggunaan elektrik (electricity baseline), seterusnya untuk mengenal pasti peluang penjimatan tenaga serta meneroka potensi penggunaan tenaga solar selepas langkah-langkah EEC dilaksanakan.

Bengkel ini diakhiri dengan setiap peserta menyediakan pelan tindakan yang menggariskan langkah-langkah EEC yang praktikal, cabaran pelaksanaan serta bentuk sokongan yang diperlukan bagi memperkukuh amalan pengurusan tenaga bagi organisasi masing-masing. Para peserta turut digalakkan untuk menjadikan penggunaan elektrik sebagai salah satu Petunjuk Prestasi Utama (KPI) organisasi bagi tahun 2027, serta digalakan berusaha untuk mencapai pengurangan keseluruhan sebanyak 20% dalam penggunaan elektrik melalui pelaksanaan langkah-langkah EEC. Semasa bengkel, satu kajian kes turut dibentangkan mengenai tahap pengurangan boleh dicapai dengan kos sifar dan kos rendah melalui langkah-langkah EEC yang praktikal.

Insiiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Jabatan Tenaga untuk memperkukuhkan amalan pengurusan tenaga dalam sektor komersial dan perindustrian, serta menunjukkan  model libat urus praktikal yang boleh diperluaskan ke taman-taman perindustrian lain di Negara Brunei Darussalam. Untuk menyokong pelaksanaan yang berterusan, Jabatan Tenaga akan membuat susulan dengan syarikat-syarikat yang telah turut serta pada Januari 2027 bagi menilai kemajuan mereka, membincangkan cabaran pelaksanaan, serta mengenal pasti peluang untuk sokongan lanjut.

Syarikat-syarikat dan organisasi yang berminat untuk menyertai bengkel pengurusan tenaga pada masa hadapan adalah dialu-alukan untuk menghubungi Bahagian Peralihan Tenaga bagi mendapatkan maklumat lanjut.

|   TERKINI

MESYUARAT MENTERI-MENTERI OPEC DAN BUKAN OPEC KALI KE-41

MESYUARAT MENTERI-MENTERI OPEC DAN BUKAN OPEC KALI KE-41

Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tenaga, Huluan dan Hiliran) telah menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri OPEC dan bukan OPEC kali ke-41 (41st ONOMM) yang diadakan secara dalam talian pada...

baca lagi