Yang Mulia Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib, Setiausaha Tetap (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri, mempengerusikan Lawatan Negara daripada Pusat Tenaga (ACE) ASEAN ke Negara Brunei Darussalam selaku Pegawai Kanan Tenaga (SOE) bagi Negara Brunei Darussalam. Lawatan yang diadakan pada 29 Januari 2026 adalah bersempena dengan pembangunan Tinjauan Tenaga ASEAN ke-9 (AEO9 Energy Outlook).
Lawatan tersebut diketuai oleh Yang Mulia Dato’ Ir. Ts. Abdul Razib bin Dawood, Pengarah Eksekutif Pusat Tenaga ASEAN. Turut hadir ialahYang Mulia Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra, Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri. Lawatan yang merupakan sebahagian daripada proses perundingan dan pengesahan standard yang membawa kepada penerbitan Tinjauan Tenaga ASEAN ke-9, dengan Negara Brunei Darussalam menjadi Negara Anggota ASEAN pertama yang menjadi lawatan negara pertama di bawah inisiatif ini.
Lawatan tersebut mencerminkan peranan aktif Brunei Darussalam selaku anggota ASEAN dalam mengukuhkan kerjasama tenaga serantau, di samping usaha berterusan Pusat Tenaga ASEAN untuk membangunkan Tinjauan Tenaga ASEAN yang berpandangan ke hadapan dan berasaskan bukti. Perbincangan itu menghimpunkan pihak berkepentingan utama, termasuk wakil dari Pejabat Wawasan Brunei, Pejabat Perubahan Iklim Brunei, Jabatan Perancangan Ekonomi dan Perangkaan, badan kawal selia tenaga, serta institusi pengajian tinggi untuk berkongsi dan bertukar pandangan tentang dasar tenaga, pandangan dan keutamaan strategik Brunei. Input kolektif ini memainkan peranan penting dalam membentuk Tinjauan Tenaga ASEAN ke-9, memajukan keselamatan tenaga, kemampanan, daya tahan dan pertumbuhan inklusif di seluruh rantau ini.




