Berita

Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura (SIEW) 2026
Isnin, 26 Oktober 2026

Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tenaga, Hulu dan Hiliran) telah menghadiri  Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura (SIEW) 2026, pada 26 Oktober 2026 di Republik Singapura.

Turut hadir ialah Yang Mulia Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra, Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri, serta pegawai-pegawai kanan daripada Jabatan Tenaga, Huluan dan Hiliran di Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Perkhidmatan Elektrik.

SIEW merupakan acara tahunan anjuran Energy Market Authority (EMA) Singapura, yang berfungsi sebagai platform antarabangsa utama bagi para pemimpin tenaga, penggubal dasar, dan pakar industri untuk bertukar-tukar pandangan serta memupuk kerjasama dalam menangani cabaran tenaga global. Dengan tema “Connecting Energy Systems, Powering Tomorrow”, SIEW 2026 menampilkan perbincangan peringkat tinggi melalui SIEW Summit, Singapore-IEA Forum, Singapore-IRENA High-Level Forum, serta IAEA Forum yang diperkenalkan buat kali pertama. Selain itu, pelbagai acara yang tertumpu kepada industri turut diadakan, merangkumi topik tenaga bersih, keselamatan tenaga, teknologi baharu, dan kesalinghubungan tenaga serantau.

Memandangkan landskap tenaga global terus berkembang, penekanan yang lebih besar diberikan kepada pengukuhan keselamatan tenaga, peningkatan kesalinghubungan tenaga serantau, serta pembangunan infrastruktur tenaga yang berdaya tahan dan mampan. Keutamaan-keutamaan ini amat relevan dengan usaha Negara Brunei Darussalam untuk memastikan bekalan tenaga yang boleh diharap, memudah cara kerjasama serantau—khususnya melalui ASEAN Power Grid (APG)—serta menyokong pembangunan jangka panjang dan daya saing sektor tenaga negara.

Semasa berlangsungnya SIEW 2026, Yang Berhormat Menteri juga turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Tuan Yang Terutama Dr. Tan See Leng, Menteri Tenaga, Perdagangan dan Industri (Tenaga dan Industri), Republik Singapura. Perbincangan tertumpu kepada pembinaan kapasiti dalam tenaga alternati termasuk kesediaan bagi tenaga nuklear serta kesalinghubungan tenaga serantau, keselamatan tenaga, pembangunan rendah karbon, dan pengukuhan kerjasama tenaga dua hala diantara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura.

Yang Mulia Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri berserta delegasi meneruskan penyertaan mereka dalam SIEW 2026 sehingga 29 Oktober 2026. Sebagai sebahagian daripada program tersebut, delegasi Negara Brunei Darussalam telah mengadakan lawatan teknikal ke kemudahan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) milik Sembcorp di Pulau Jurong. Lawatan ini memberikan wawasan mengenai perancangan, reka bentuk, dan operasi sistem penyimpanan tenaga berskala besar, serta peranannya dalam meningkatkan kestabilan grid, kebolehpercayaan bekalan elektrik, dan integrasi tenaga boleh baharu.

Delegasi juga mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan rakan sejawat antarabangsa dan pihak berkepentingan industri, yang menumpukan kepada pemodenan grid, keselamatan tenaga, kesalinghubungan elektrik serantau, dan teknologi tenaga yang sedang berkembang. Antara pertemuan tersebut ialah perbincangan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Berhad (SEB)—baik yang akan menamatkan perkhidmatan mahupun yang bakal memegang jawatan tersebut—mengenai usaha memajukan Projek Kesalinghubungan Rentas Sempadan (CBI) antara Brunei Darussalam dan Sarawak, sebagai sebahagian daripada inisiatif Grid Tenaga ASEAN (ASEAN Power Grid) yang lebih luas.

Pertemuan-pertemuan ini membolehkan pertukaran pengetahuan, kepakaran, dan amalan terbaik antarabangsa yang relevan bagi memajukan pembangunan sektor tenaga di Brunei Darussalam.

|   TERKINI