Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (METI) Kerajaan Jepun telah menganjurkan Tokyo GX (Green Transformation) Week, di mana para Menteri-Menteri, pemimpin industri dan organisasi antarabangsa telah ikut serta di dalam pelbagai mesyuarat, persidangan dan forum antarabangsa berkaitan tenaga dan alam sekitar, kearah merealisasikan neutraliti karbon global dengan pertumbuhan ekonomi yang berdayatahan, melalui “transformasi hijau “. Acara-acara tersebut diadakan bermula 26 September 2022, di Tokyo, Jepun secara hybrid.
Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri mewakili Negara Brunei Darussalam semasa Tokyo GX Week, dalam empat (4) mesyuarat dan persidangan iaitu: Mesyuarat Peringkat Menteri bagi Tenaga Hidrogen kali Kelima (Fifth Hydrogen Energy Ministerial Meeting 5th HEM); Mesyuarat Peringkat Menteri bagi Perkongsian Pertumbuhan Hijau di Rantau Asia kali Kedua (Second Asia Green Growth Partnership Ministerial Meeting – 2nd AGGPM); Persidangan Pengeluar-Pengguna Gas Cecair Asli Yang kali Kesebelas (Eleventh LNG Producer-Consumer Conference – 11th LNGPCC); dan Forum Rangkaian CCUS Asia kali Kedua (Second Asia CCUS Network Forum – 2nd ACN Forum).
Mesyuarat 5th HEM telah bersidang pada 26hb September 2022, dan diadakan secara fisikal buat kali pertama sejak tahun 2019. Antaralain, perkara-perkara yang dibincangkan adalah: i) Perubahan pesat dalam persekitaran tenaga; ii) Kemajuan-kemajuan kearah membina masyarakat berkuasa hidrogen secara global; dan iii) Usaha-usaha inovatif kearah penggunaan hidrogen di negara-negara di seluruh dunia.
Ucapan Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri di Pejabat Perdana Menteri menggariskan bahawa Negara Brunei Darussalam akan terus bekerjasama dengan institusi serantau dan antarabangsa dalam mempromosikan tenaga hidrogen. Negara Brunei Darussalam memainkan peranan dalam penerokaan potensi hidrogen dengan kerjasama Jepun untuk melaksanakan projek Demonstrasi Rantaian Bekalan Hidrogen Global antara 2019 dan 2022 dan menunjukkan bahawa pengangkutan hidrogen melalui perkapalan laut adalah teknologi yang boleh dilaksanakan, walaubagaimanapun kos dan skala ekonomi, kekal sebagai cabaran utama.
Mesyuarat 2nd AGGPM juga bersidang secara fisikal pada hari yang sama, di mana para Menteri membincangkan kepentingan mempercepatkan peralihan tenaga yang pelbagai dan pragmatik di Asia, dengan mengambilkira keadaan yang berbeza bagi setiap negara dan menggunakan semua sumber tenaga dan teknologi yang berkenaan. Turut ditekankan ialah kepentingan peralihan tenaga yang seimbang kearah mencapai neutraliti karbon, sambil memastikan keselamatan tenaga di rantau Asia dan di peringkat global.
Dalam ucapannya, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri di Pejabat Perdana Menteri menyebut hasrat Negara Brunei Darussalam untuk menuju ke arah sifar bersih menjelang tahun 2050 disokong oleh inisiatif-inisiatif khusus peralihan tenaga sebagai sebahagian daripada Dasar Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam dalam mempelbagaikan campuran tenaga. Ini termasuk lebih banyak tenaga boleh diperbaharui untuk membentuk Negara Brunei Darussalam menjadi sebuah negara rendah karbon. Negara Brunei Darussalam juga telah memperkenalkan beberapa inisiatif semasa Mempengerusikan Mesyuarat Menteri Tenaga ASEAN ke-39. Ini termasuk, pengesahan Deklarasi Bersama Bandar Seri Begawan mengenai Keselamatan Tenaga dan Peralihan Tenaga, yang termasuk mempergiatkan dasar dan perancangan jangka panjang bagi tenaga dan iklim, meningkatkan kecekapan dan pemeliharaan tenaga, mengembangkan sumber tenaga boleh diperbaharui, dan menggunakan teknologi berdaya maju, bersih dan rendah karbon.
Di samping mesyurat-mesyuarat tersebut, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri juga berpeluang mengadakan perjumpaan dua hala bersama Yang Berhormat NAKATANI SHINICHI, Menteri Negara Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Kerajaan Jepun di Ibu Pejabat Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri di Tokyo. Semasa perjumpaan tersebut, keduadua Menteri bertukar-tukar pandangan dan menggariskan kepentingan kerjasama tenaga yang sudah lama terjalin di antara Negara Brunei Darussalam dan Jepun, dan untuk meneroka peluangpeluang dalam usaha-usaha peralihan tenaga serta memperkukuhkan hubungan dua hala diantara kedua buah negara.
Yang Mulia Haji Azhar bin Haji Yahya, Setiausaha Tetap (Tenaga), Jabatan Perdana Menteri juga turut menghadiri mesyuarat-mesyuarat berkenaan sebagai sebahagian daripada rombongan Negara Brunei Darussalam.
Persidangan 11th LNGPCC akan diadakan secara dalam talian pada 29hb September 2022. Dengan tema “Reorganizing LNG for World Energy Security”, persidangan tersebut menghimpunkan pengeluar dan pengguna utama gas cecair asli dunia serta kumpulan pemikir (think-tanks) bagi mempertingkatkan lagi kerjasama dan memperkukuhkan pasaran global gas cecair asli melalui perbincangan dan perkongsian maklumat termasuk usaha-usaha utama kearah mencapai pasaran gas cecair asli yang resilien dan mampan.
Forum 2nd ACN akan diadakan secara hybrid pada 30hb September 2022. Dalam mengiktiraf kepentingan platform industri, academia bersama Kerajaan terhadap penggunaan Carbon Capture, Utilisation, and Storage (CCUS) di seluruh Asia, Forum tersebut mengongsikan perlaksanaan aktiviti-aktiviti di bawah ACN dari tahun 2021 hingga 2022. Forum berkenaan juga akan membincangkan dasar, sistem perundangan dan langkah-langkah dokongan bagi mengembangmajukan Carbon Capture, Utilisation and Storage (CCUS) di rantau Asia.
Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri juga menyampaikan ucapan video bagi 5th HEM dan akan menyampaikan ucapan-ucapan video bagi Persidangan 11th LNGPCC and Forum 2nd ACN. Ucapan-ucapan video tersebut boleh diikuti secara talian melalui laman web rasmi mesyuarat dan persidangan masing-masing.




