Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri telah mengemaskini kawalan pembelian Produk Petroleum (Gasoline, Diesel, V Power Gasoline dan V Power Diesel) yang akan berkuatkuasa pada 1 April 2026. Langkah ini diambil bagi melindungi bekalan api negara berikutan pergolakan geopolitik di Timur Tengah sejak akhir Februari 2026.
1. Semua kenderaan berpendaftaran asing yang memasuki Negara Brunei Darussalam adalah dikehendaki bagi mempunyai sekurang-kurangnya tiga suku (¾) tangki penuh bahan api semasa kemasukan. Mana-mana kenderaan yang tidak memenuhi syarat ini tidak akan dibenarkan masuk ke Negara Brunei Darussalam kecuali bagi kenderaan kerajaan rasmi yang diberikan pengecualian.
2. Kenderaan berpendaftaran asing hanya dibenarkan membeli bahan api Shell V-Power Gasoline atau Shell V Power Diesel sahaja di stesen minyak yang menjual produk tersebut pada kadar pasaran semasa.
3. Bagi kenderaan berpendaftaran Negara Brunei Darussalam yang kembali dari luar negara, syarat tiga suku (¾) tangki tidak dikenakan bagi kemasukan pertama. Walaubagaimanapun, bagi kemasukan kedua dan seterusnya dalam tempoh 24 jam, syarat tersebut akan dikuatkuasakan sepenuhnya.
4. Semua stesen minyak di Negara Brunei Darussalam juga dikehendaki bagi mempertingkatkan lagi langkah-langkah pengesahan, termasuklah pemeriksaan nombor pendaftaran kenderaan. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menggunakan nombor pendaftaran palsu atau yang diubah suai. Pemantauan dan penguatkuasaan akan dilaksanakan secara aktif oleh pihak-pihak yang berkuasa.
Langkah-langkah ini adalah mandatori dan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan untuk memastikan bahan api bersubsidi digunakan secara berhemah bagi kegunaan domestik serta memelihara keterjaminan tenaga negara. Orang ramai dan semua pemilik kenderaan adalah dinasihatkan untuk mematuhi peraturan ini dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa yang berkenaan.




