Artikel

Program i-Usahawan Kementerian Tenaga: Penyertaan Belia dalam Pembangunan Industri Spin-Off Sektor Tenaga
Sabtu, 7 Ogos 2021

Program i-Usahawan yang merupakan satu inisiatif daripada Kementerian Tenaga menjadi fokus utama Hari Belia Kebangsaan Kali Ke-16 yang membawa tema “Belia Siaga Masa Depan”. Pameran i-Usahawan meraikan penglibatan aktif usahawan belia yang berminat untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan di dalam Sektor Tenaga dengan objektif utama untuk meningkatkan keupayaan perniagaan mereka. Pameran itu selaras dengan Objektif Strategik 6 Kementerian Tenaga: Menyokong Pembangunan Sosio-Ekonomi melalui aktiviti Spin-Off sektor tenaga.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam titah baginda semasa sambutan Hari Belia Kebangsaan kali ke-16 menekankan kepentingan program i-Usahawan dalam pembangunan usahawan belia tempatan. Baginda juga menekankan kepentingan program i-Usahawan sejak ianya diperkenalkan pada 1 Ogos 2018, yang mana program tersebut telahpun menghasilkan sebanyak 35 kontrak yang dikenal pasti. 19 kontrak telah diberikan kepada 24 usahawan belia dengan anggaran nilai kontrak sebanyak BND 29 Juta. Baginda juga menggesa agar program i-Usahawan diperluaskan lagi kepada sektor bukan tenaga.

Pada majlis tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan melawat ke booth pameran lima belia tempatan termasuk tiga usahawan i-Usahawan iaitu Fath-Briz Sdn. Bhd; Perkhidmatan Jezemm; Mohd HMS dan dua vendor baru termasuk Brudesh Management & Engineering dan Everything Solar Company. Usahawan belia mempamerkan aktiviti perniagaan dan perjalanan keusahawanan mereka dalam menyokong pembangunan aktiviti spin-off sektor tenaga.

Dalam menyokong usaha negara bagi memberi peluang kepada usahawan tempatan yang diterajui belia sebagai pemangkin utama pertumbuhan ekonomi, program i-Usahawan Kementerian Tenaga merupakan satu platform penting dalam penyediaan kontrak perniagaan dan pembangunan kapasiti. Program ini bertujuan bagi mempercepatkan potensi perniagaan yang diterajui usahawan belia dalam empat bidang utama iaitu i) Pembangunan Kapasiti Operasi (pemahaman yang lebih baik tentang industri); ii) Pembinaan Kapasiti Pengurusan (Pengurusan Perniagaan); iii) Pembangunan Kapasiti Pengurusan Kewangan (pengurusan kewangan); dan iv) Pembangunan Kapasiti Peribadi. Secara kolektif, program ini telah menghasilkan peningkatan tahap kepakaran, kemahiran dalam perniagaan masing-masing.

Memandangkan sektor tenaga global pada masa ini sedang dilanda wabak COVID-19, sektor tenaga Negara Brunei Darussalam yang diterajui oleh Kementerian Tenaga akan terus mengekalkan kedayatahanannya di dalam mengekalkan kesinambungan perniagaan tanpa gangguan dalam operasi dan inisiatifnya. Program i-Usahawan tetap konsisten semasa pandemik dengan penganugerahan tujuh kontrak kepada usahawan belia. Sehingga kini, tiga i-Usahawan telah berjaya mendapatkan kontrak di luar program i-Usahawan. Kementerian Tenaga turut mempamerkan “Ekosistem i-Usahawan” dengan kerjasama pengendali tenaga. Pameran itu terdiri daripada belia yang menyertai i-Usahawan, penyedia latihan dan pengendali tenaga bertujuan untuk menyediakan orang ramai dengan maklumat berkaitan ekosistem i-Usahawan. Untuk maklumat lanjut mengenai program i-Usahawan, orang ramai boleh melayari laman sesawang Kementerian Tenaga di https://www.energy.gov.bn/SitePages/Pages/Energy%20In-Country%20Value.aspx.

|   TERKINI