Jabatan Tenaga, Huluan dan Hiliran (JTHH) di Jabatan Perdana Menteri, melalui Bahagian Peralihan Tenaga telah mengadakan sebuah program pengenalan pengurusan tenaga di Sekolah Menengah PAPHM pada 1 dan 16 September 2026.
Program tersebut merupakan sebahagian daripada rangka kerja Skills and Capacity for Alternative Low Carbon Energy (S.C.A.L.E) yang diterajui oleh JTHH dan disokong oleh Kementerian Pendidikan (MOE). Program ini adalah selaras dengan Pelan Pendidikan Hijau 2025-2035 Kementerian Pendidikan, terutamanya dengan strategi-strategi pelaksanaan Infrastruktur Hijau dan Amalan Mesra Alam.
Peserta termasuk para pelajar dan guru daripada Sekolah Menengah Berakas, Sekolah Menengah Lambak Kiri dan Sekolah Menengah PAPHM, serta Pengurus Tenaga Kebangsaan daripada Kementerian Pendidikan dan perwakilan daripada Pusat STEP, Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan SEAMEO VOCTECH.
Para peserta telah dilatih mengenai kecekapan dan penjimatan tenaga, strategi pengurusan tenaga, pengauditan tenaga dan pembangunan asas, serta amalan cekap tenaga bagi sistem pendingin hawa dan pencahayaan.
Semasa aktiviti audit tenaga, peserta menilai penggunaan tenaga, mengenal pasti peluang penjimatan tenaga dan menghasilkan cadangan bagi menambah baik prestasi tenaga fasiliti sekolah. Pendapatan ini akan membantu institusi-institusi yang mengambil bahagian dalam mengutamakan langkah-langkah penjimatan ke arah mencapai pengurangan sekurang-kurangnya 15% dalam penggunaan elektrik berbanding garis dasar masing-masing.
Pihak JTHH akan terus memberikan sokongan serta menyelia susulan program melalui bimbingan berterusan dan pemantauan berkala bersama institusi-institusi yang telah mengambil bahagian, termasuk sokongan intervensi jika diperlukan. Peluang-peluang bagi memperluaskan insentif dan menggalakkan penyertaan berterusan, seperti pertandingan pengurusan tenaga dan inisiatif-inisiatif lain, akan turut diterokai bagi mengekalkan momentum dan memupuk budaya kecekapan tenaga di seluruh institusi pendidikan.




