Berita

Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN Kali Ke-44 dan Mesyuarat-Mesyuarat yang Berkaitan
Isnin, 5 Oktober 2026

Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tenaga, Huluan dan Hiliran), telah menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN Kali Ke-44 (44th AMEM) serta Mesyuarat-Mesyuarat berkaitan yang diadakan pada 6 hingga 8 Oktober 2026 di Philippines International Convention Centre (PICC), Manila, Republik Filipina.

Turut hadir bagi menyertai Yang Berhormat Menteri pada mesyuarat tersebut ialah Yang Mulia Pengiran Hajah Adimasyaton binti Pengiran Haji Omar Ali, Setiausaha Tetap (Tenaga, Huluan dan Hiliran) di Jabatan Perdana Menteri selaku Ketua Pegawai Kanan Tenaga (SOE) bagi Negara Brunei Darussalam, serta pegawai-pegawai daripada Jabatan Tenaga, Huluan dan Hiliran di Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Jabatan Perdana Menteri dan Pejabat Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam, Jabatan Perdana Menteri.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Puan Yang Terutama Sharon S. Garin, Setiausaha Jabatan Tenaga, Republik Filipina dan Tuan Yang Terutama Dr. Tan See Leng, Menteri Perdagangan dan Perindustrian (Tenaga dan Industri), Republik Singapura selaku Naib Pengerusi. Mesyuarat tersebut membawa tema “Navigating Our Future Together”, yang menghubungkan Pelan Tindakan ASEAN bagi Kerjasama Tenaga (APAEC) 2026–2030 dengan empat tonggak utama kepengerusian ASEAN bagi Republik Filipina bagi tahun 2026, iaitu menjamin kesejahteraan rakyat melalui tenaga yang inklusif dan boleh dipercayai; memacu peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi; memupuk inovasi menerusi teknologi baharu muncul dan pendigitalan; serta membina daya tahan melalui sistem yang lebih kukuh.

Mesyuarat tersebut menghimpunkan Menteri-Menteri Tenaga ASEAN, pegawai kanan tenaga, Rakan Dialog, dan pertubuhan antarabangsa dalam satu perbincangan peringkat tinggi bagi memajukan keutamaan tenaga serantau di bawah APAEC 2026–2030. Mesyuarat mengongsikan kemajuan projek-projek dibawah APAEC 2026–2030 yang memfokuskan keapda tiga bidang keutamaan, iaitu: 1) memperkukuh kerjasama dan kesalinghubungan tenaga serantau; 2) meningkatkan keselamatan dan daya tahan tenaga; dan 3) memajukan pembangunan tenaga yang mampan dan inklusif. Negara-negara anggota ASEAN secara kolektif telahpun menetapkan sasaran untuk mencapai sasaran tenaga yang boleh diperbaharui (RE) sebanyak 30% dalam jumlah bekalan tenaga primer (TPES) dan meningkatkan penjanaan tenaga boleh diperbaharui dalam kapasiti terpasang sebanyak 45% menjelang tahun 2030. Selain itu, rantau ini menyasarkan pengurangan keamatan tenaga sebanyak 40% berdasarkan TPES menjelang tahun 2030.

Semasa Mesyuarat AMEM ke-44 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan, Yang Berhormat Menteri menegaskan komitmen Brunei Darussalam dalam memperkukuh kerjasama serantau, keselamatan tenaga dan kedayatahanan tenaga melalui kerjasama berterusan di antara negara-negara anggota ASEAN dan rakan-rakan dialog. Yang Berhormat Menteri turut mengetengahkan peranan Brunei Darussalam dalam memajukan Grid Kuasa ASEAN (ASEAN Power Grid), termasuk cadangan projek penyambungan rangakaian tenaga elektrik merentasi sempadan dengan Sarawak serta pembangunan Rangka Kerja Pembangunan Kabel Kuasa Dasar Laut, bagi meningkatkan kesalinghubungan tenaga serantau. Perbincangan serantau seperti Energy Security Forum and the Oil Market and Natural Gas Forum and Business Dialogue turut menyediakan platform bagi pertukaran pengetahuan, perkongsian amalan terbaik dan menggalakkan kerjasama praktikal dalam mendukung keutamaan ASEAN.

Semasa Mesyuarat AMEM ke-44, beberapa mesyuarat peringkat menteri yang berkaitan turut diadakan, termasuk Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN+3 ke-23, dan Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20, Dialog AMEM-Amerika Syarikat ke-5, serta Dialog AMEM-Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA)-Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (IRENA).

Mesyuarat-mesyuarat tersebut mengesahkan Kenyataan Media Bersama AMEM ke-44, Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN+3 ke-23, dan Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20. Di samping menghadiri Mesyuarat AMEM Ke-44 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan, Yang Berhormat Menteri turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Puan Yang Terutama Sharon S. Garin, Setiausaha Tenaga Republik Filipina, dan Tuan Yang Terutama Dr. Tan See Leng, Menteri Tenaga, Perdagangan dan Perindustrian (Tenaga
dan Perindustrian), Republik Singapura, bagi meneroka peluang untuk memperkukuh kerjasama dengan negara-negara berkenaan.

Disamping mesyuarat AMEM yang ke-44, Yang Berhormat Menteri juga turut menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri bagi Asia Zero Emission Community (AZEC) ke-kali ke-4 pada 8 Oktober 2026. Dipengerusikan bersama oleh Jabatan Tenaga, Republik Filipina dan Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Jepun, mesyuarat AZEC ini disertai oleh Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Jepun, Lao PDR, Malaysia, Filipina, Republik Singapura, Thailand dan Vietnam. Semasa mesyuarat tersebut, Negara-Negara Rakan menerima pakai Kenyataan Bersama Mesyuarat Peringkat Menteri AZEC ke-4, yang antaralainnya menggariskan Program Kerja Peringkat Menteri AZEC bagi memperkukuh simpanan stok minyak, yang memberi tumpuan kepada usaha “memperkukuh keselamatan dan kedayatahanan tenaga di seluruh rantau AZEC”.

Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-45 dijadualkan berlangsung pada tahun 2027 di Republik Singapura.

|   TERKINI