Brunei Darussalam telah menyertai Persidangan Menteri Tenaga Belt and Road Ke-4 sebagai pemerhati, yang telah berlangsung pada 25 hingga 27 November 2026 di Qingdao, Wilayah Shandong, Republik Rakyat China.
Mewakili Negara Brunei Darussalam bagi pihak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tenaga, Huluan dan Hiliran) ialah Yang Mulia Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra, Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri.
Persidangan yang bertemakan “Berkongsi Hasil Inovasi, Memajukan Peralihan Tenaga dan Membina Masa Depan yang Selamat Bersama” telah menghimpunkan menteri-menteri tenaga, duta-duta besar yang menetap di China, ketua-ketua organisasi tenaga antarabangsa, serta wakil-wakil kanan daripada perusahaan tenaga global terkemuka, institusi kewangan, institut penyelidikan dan persatuan industri.
Persidangan tersebut telah menyediakan platform bagi negara-negara dan organisasi-organisasi yang mengambil bahagian untuk bertukar-tukar pandangan, berkongsi penyelesaian tenaga yang inovatif serta meneroka peluang kerjasama antarabangsa dalam memajukan peralihan tenaga global, memperkukuh keselamatan tenaga dan menggalakkan pembangunan tenaga mampan.




