Berita

Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Tenaga ASEAN mengenai dengan situasi terkini di Timur Tengah
Isnin, 27 April 2026

Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah, Timbalan Menteri (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri mewakili Negara Brunei Darussalam di Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Tenaga ASEAN mengenai dengan situasi terkini di Timur Tengah yang telah diadakan secara maya pada 27 April 2026.

Turut hadir ialah Yang Mulia Pengiran Haji Jamra Petra bin Pengiran Haji Petra, Pemangku Setiausaha Tetap (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri selaku Pegawai Kanan Tenaga (SOE) bagi Brunei Darussalam, dan pegawai-pegawai dari Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri.

Mesyuarat Khas AMEM ini telah dipengerusikan oleh Puan Yang Terutama Sharon S. Garin, Setiausaha Tenaga Republik Filipina dengan tujuan untuk membincangkan implikasi situasi konflik geopolitik di Timur Tengah, dengan memberi tumpuan kepada implikasinya terhadap keterjaminan tenaga negara-negara ASEAN dan ketidaktentuan dalam landskap tenaga global yang menjejaskan kestabilan pasaran bekalan minyak dan gas,  dan rantaian bekalan global. Menerusi pertemuan atas talian ini, Menteri-Menteri Tenaga ASEAN dan wakil-wakil yang hadir telah mengambil peluang untuk bertukar-tukar pandangan, menilai implikasi bagi keterjaminan tenaga serantau, serta mengenal pasti langkah kolektif untuk meningkatkan kesiapsiagaan dan kedayatahan ASEAN.

Kenyataan Bersama bagi Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Tenaga ASEAN mengenai Situasi Terkini di Timur Tengah menekankan keperluan untuk tindakan serantau yang segera dan bersepadu susulan perkembangan konflik geopolitik yang memberi kesan kepada pasaran tenaga dan rantaian bekalan, khususnya minyak dan gas.  Kenyataan Bersama tersebut turut menggariskan tanggungjawab kolektif ASEAN dalam memastikan keterjaminan tenaga serantau melalui kerjasama yang dipertingkatkan, termasuk dengan Rakan Dialog, serta respons dasar yang tepat pada masanya. Selain itu, Kenyataan Bersama tersebut juga menekankan keperluan segera bagi negara-negara ASEAN untuk mengesahkan Perjanjian Rangka Kerja ASEAN mengenai Sekuriti Petroleum (APSA), peningkatan perkongsian maklumat, serta kepelbagaian sumber tenaga bagi memastikan bekalan tenaga yang stabil, mampan dan berdaya tahan.

Penyertaan Negara Brunei Darussalam dalam Mesyuarat tersebut mencerminkan komitmen teguh negara untuk menyokong kerjasama serantau ASEAN, mengukuhkan keselamatan tenaga, dan menggalakkan kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat di rantau ini mengambil kira landskap tenaga global yang dinamik dan semakin mencabar.

|   TERKINI

Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah, Timbalan Menteri (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri menerima Kunjungan Hormat daripada Pesuruhjaya Tinggi Republik Rakyat Bangladesh ke Negara Brunei Darussalam

Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah, Timbalan Menteri (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri menerima Kunjungan Hormat daripada Pesuruhjaya Tinggi Republik Rakyat Bangladesh ke Negara Brunei Darussalam

Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah, Timbalan Menteri (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri menerima Kunjungan Hormat daripada Puan Yang Terutama Naureen Ahsan, Pesuruhjaya Tinggi Republik Rakyat Bangladesh ke Negara Brunei...

baca lagi