Penandatanganan dan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan Kerajaan Sarawak, Malaysia mengenai kerjasama tenaga telah berlangsung hari ini semasa Majlis Pembukaan Rasmi Sustainable and Renewable Energy Forum yang ke-empat (SAREF 4.0), bertempat di Pusat Konvensyen Borneo Kuching.
Hadir selaku Tetamu Kehormat semasa Majlis Pembukaan berkenaan ialah Yang Amat Berhormat Dato Seri Setia Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Premier Sarawak.
Menandatangani bagi pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah, Timbalan Menteri (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri; manakala Kerajaan Sarawak, Malaysia diwakili oleh Yang Berhormat Dato Haji Ibrahim bin Haji Baki, Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) di Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak.
MoU berkenaan bertujuan untuk memperkukuhkan kerjasama dalam bidang tenaga dan dihasratkan untuk berperanan sebagai kerangka yang menyeluruh dalam memperluaskan kerjasama di masa hadapan di antara Negara Brunei Darussalam dan Negeri Sarawak. lanya antara lain merangkumi kerjasama aktiviti-aktiviti berkaitan minyak dan gas, tenaga elektrik, peralihan tenaga serta aktiviti-aktiviti lain yang dipersetujui bersama.
Usaha berterusan dalam memperluaskan skop kerjasama tenaga di antara Negara Brunei Darussalam dan Negeri Sarawak turut diketengahkan dalam Kenyataan Bersama berikutan Perundingan Tahunan Ketua-Ketua Kerajaan Kali Ke-26 di antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia (26th ALC) di antara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia yang telah diadakan pada 27 Ogos 2025 di Putrajaya, Malaysia.
Penandatanganan dan pertukaran MoU ini memperkukuhkan lagi peranan sektor tenaga sebagai salah satu tonggak penting kerjasama strategik dan juga mencerminkan komitmen bersama dalam meningkatkan pembangunan mampan, keterjaminan tenaga dan kesalinghubungan serantau.




