Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, permintaan untuk “refined petroleum products” semakin meningkat yang membawa kepada pengembangan besar bagi industri hiliran di seluruh dunia. Sehubungan itu, Negara Brunei Darussalam telah memulakan pelaburan berskala besar projek hiliran, mewujudkan peluang untuk pasaran eksport dan industri domestik. Salah satu projek hiliran berskala besar, yang kini dalam fasa pembinaan ialah Loji Ammonia dan Urea yang dikendalikan oleh Brunei Fertilizer Industries Sdn Bhd (BFI). Pembinaan kilang tercanggih BFI diatas tapak seluas 55 hektar di Taman Perindustrian Sungai Liang (SPARK) bermula pada bulan Mei 2018 dan dijadualkan untuk beroperasi bagi pengeluaran urea yang pertama menjelang suku kedua 2021 sepertimana Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda ke-74. Syarikat BFI adalah secara majoriti, dimiliki oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
BFI adalah salah satu daripada dua projek minyak dan gas hiliran berskala besar di Negara Brunei Darussalam setelah Loji Penapisan dan Petrokimia (PMB) di Pulau Muara Besar. Setelah siap pembinaannya, BFI akan menjadi antara loji baja terbesar di Asia Tenggara. Loji ini terdiri daripada tiga bahagian: Loji Luar Tapak & Utiliti, Ammonia dan Urea. Ia mampu menghasilkan 2,200 tan metrik ammonia dan 3,900 tan metrik urea sehari, menjadikkannya “single train” terbesar di dunia yang pernah dibina. Produk baja yang diproses akan dieksport ke industri pertanian di rantau ini.
Kementerian Tenaga bertanggungjawab dalam memudahcara projek BFI dan komited untuk memastikan sumbangan sektor itu kepada peluang pekerjaan bagi warga tempatan di samping meningkatkan manfaat ekonomi yang strategik kepada negara. Pada tahun 2018, pihak Kementerian telah mengeluarkan “Bruneianisation Directive” sebagai sebahagian daripada pelan strategiknya untuk memastikan rakyat dan penduduk di negara ini menerajui dan memacu industri minyak dan gas. Aspirasi arahan tersebut adalah untuk mencapai sekurang-kurangnya 90% pekerja tempatan di semua peringkat dan kumpulan kemahiran dalam setiap syarikat dalam industri minyak dan gas. Selaras dengan arahan ini, BFI komited untuk menawarkan platform yang kukuh dan program latihan daripada pakar antarabangsa dalam usaha meningkatkan lagi pengetahuan dan kemahiran mereka dalam pasaran global.
Sebagai sebahagian daripada komitmen BFI dalam membangunkan bakat tempatan, 161 pelatih telah menjalani pelbagai program latihan di bawah program latihan operasi dan penyelenggaraan BFI di Insitut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP) di Terengganu, Malaysia, Baja ASEAN Bintulu di Bintulu; Baja Kimia Petronas di Kedah dan Utiliti Loji Pemprosesan Gas di Kertih. Pelatih ini ditugaskan di BFI untuk latihan praktikal dalam pelbagai disiplin yang terdiri daripada operasi, penyelenggaraan, keselamatan dan makmal untuk melengkapkan program latihan selama 12 bulan. Para pelatih dibimbing dan dilatih oleh pakar industri BFI untuk menerapkan pengetahuan mereka tentang aspek teknikal loji seperti proses, fungsi dan peralatannya. Para pelatih akan ditawarkan pekerjaan sepenuh masa dengan BFI sebaik sahaja selesai menjalani program latihan. Dalam menyokong bakat tempatan negara dalam bidang teknikal dan bukan teknikal, BFI juga telah mengambil 16 pelatih i-Ready pada 2018 dan 2019 yang kini merupakan pekerja sepenuh masa di BFI.
Sehingga Ogos 2020, tenaga kerja BFI berjumlah 357 orang yang terdiri daripada pekerja profesional yang berpengalaman dari pihak industri dan pelatih. BFI menyasarkan sejumlah 500 peluang pekerjaan secara langsung akan di jana sepanjang tahun pertama pengoperasian BFI, di mana 70% daripada tenaga kerja adalah warga tempatan. Projek BFI juga akan memberi peluang kepada kontraktor tempatan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) melalui penyediaan perkhidmatan sokongan dalam bidang pembinaan, penyelenggaraan, pengangkutan, logistik, katering dan penginapan.




