Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE), Jabatan Perdana Menteri telah mengadakan Majlis Penandatanganan Kontrak bagi Projek Pembinaan Stesen Janakuasa Bukit Panggal Combined Cycle Gas Turbines Fasa 2 bersama Sinohydro Corporation Limited dari Republik Rakyat China yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Hadir selaku tetamu kehormat bersama Majlis Penandatanganan Kontrak berkenaan ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tenaga, Huluan dan Hiliran) dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, Menteri Kewangan II.
Turut hadir ialah Yang Berhormat Peguam Negara, Ambassador-Designate Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan dan Kementerian Pembangunan, serta Pegawai-Pegawai Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan.
Foto: Pelita Brunei
Kontrak tersebut ditandatangani oleh Yang Mulia Dayang Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib, Setiausaha Tetap (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri bagi pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dan Yang Mulia Zhou Jiayi, President of Asia Pacific, Sinohydro Corporation Limited menandatangani bagi pihak Syarikat Sinohydro Corporation Limited.
Projek ini merupakan sebuah pembangunan strategik dan penting di bawah Rancangan Kemajuan Negara Brunei Darusssalam ke-12 (RKN12) yang bertujuan untuk mengukuhkan sekuriti bekalan tenaga elektrik tenaga. Ia dijangka memainkan peranan penting dalam memperkukuh infrastruktur tenaga negara, menyokong pertumbuhan sosioekonomi yang mampan, meningkatkan kesejahteraan awam, dan memperbaiki kualiti hidup rakyat secara keseluruhan.
Projek ini juga mendokong usaha negara ke arah mencapai aspirasi Wawasan Brunei 2035, khususnya dalam memastikan sektor tenaga yang berdaya tahan, cekap, dan mampan untuk masa hadapan.
Projek Stesen Janakuasa Combined Cycle Gas Turbines Fasa 2 di Bukit Panggal ini akan meningkatkan kapasiti penjanaan negara sebanyak tambahan 215 megawatt (MW) berbanding kapasiti sedia ada, dan akan menyumbang ke arah mencapai sasaran kecekapan penjanaan tenaga negara sekurang-kurangnya 50%, berbanding tahap kecekapan purata semasa iaitu kurang dari 30%.
Projek ini mencerminkan komitman berterusan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam memastikan kestabilan dan kebolehpercayaan bekalan elektrik di seluruh negara, dalam mendokong Wawasan 2035, dan Matlamat Pembangunan Mampan 7: iaitu bagi memastikan akses kepada tenaga yang mampu dimilik, boleh dipercayai, mampan dan moden untuk semua.
Jabatan Perkhidmatan Elektrik
Jabatan Perdana Menteri
29 Safar 1448 / 13 Ogos 2026




